suria

"Semua Watak Sudah 'Haus', Juvana 3 Karya Terakhir" - Faisal Ishak

Antara adegan dalam 'Juvana 3: Perhitungan Terakhir' yang bakal menemui penonton bermula 29 September ini.

PETALING JAYA: Pengarah Faisal Ishak memberitahu edisi terbaharu Juvana 3: Perhitungan Terakhir ialah yang naskhah terakhir daripada trilogi popular itu.

Faisal berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan karya terbaharu kerana plot penceritaannya sudah berakhir menerusi kerya berkenaan.

"Rasanya sudah tidak relevan untuk meneruskan kerana penceritaannya sudah berakhir dalam Juvana 3: Perhitungan Terakhir ini.

Faisal Ishak.
"Tambahan pula semua watak sudah pun 'haus' dan semua pelakon sudah meningkat usia untuk terus membawa peranan sebagai remaja.

"Biarlah edisi terbaharu ini yang terakhir daripada trilogi Juvana," katanya kepada mStar Online.

Filem itu menampilkan barisan pelakon seperti Johan As'ari, Zahiril Adzim, Adam Shahz, Nad Zainal dan Hasnul Rahmat.

Ia bakal menemui penonton bermula 29 September ini.

Dalam pada itu, Faisal berkata, penghasilan Juvana 3: Perhitungan Terakhir sangat mencabar kerana ia menjalani penggambaran ketika pihaknya merakamkan episod kedua trilogi berkenaan dua tahun lalu.

Faisal berkata, pengembangan watak menjadi cabaran utama ketika penghasilan kedua-dua episod berkenaan secara serantak.

"Saya ingin memastikan Juvana 2 dan 3 selari dan mempunyai kesinambungan yang cantik agar pengakhirannya jelas dan tidak bercelaru.

Peneraju utama Juvana 3: Perhitungan Terakhir; Adam Shahz (kiri), Johan As'ari dan Zahiril Adzim.

"Proses mengembangkan watak juga bukan perkara mudah dalam penghasilan dua episod ini namun menerusi Juvana 3: Perhitungan Terakhir ia lebih memfokuskan kepada semua watak asal daripada versi drama bersiri sebelum ini," ujarnya.

Tambah Faisal, dia juga berharap siri terbaharu dan terakhir itu dapat merungkai segala persoalan yang berada di minda peminat dan pengikut setia Juvana.

"Mungkin ini adalah yang terakhir tetapi Insya-Allah ia akan memberi kepuasan kepada penonton kerana Juvana telah menjadi satu jenama besar.

"Sebagai pengarah saya ingin kekalkan jenama itu di dalam minda penonton walaupun ia sudah berakhir," jelasnya.

Sementara itu, Faisal berkata, dia lega apabila pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak membuat sebarang pemotongan terhadap filem tersebut biarpun ia mendapat klasifikasi P13.

Juvana 3 bakal menemui penonton pada 29 September ini.

Katanya, walaupun ia masih sarat dengan pelbagai aksi mendebarkan namun dia sebenarnya mengangkat semangat setia kawan dan kesetiaan pada edisi terakhir ini.

"Kalau hendak cakap tentang aksi melampau dalam Juvana ia sudah menjadi pertikaian sejak drama bersiri dahulu.

"Tetapi apa yang saya ingin ketengahkan sebenarnya adalah tentang nilai positif agar ia dapat menjadi iktibar kepada penonton.

"Alhamdulillah LPF pun tidak potong sebarang babak dalam Juvana 3: Perhitungan Terakhir dan saya fikir ia adalah permulaan positif untuk filem ini," katanya.

Javana 3, Faisal Ishak

Artikel Lain