PETALING JAYA: Penyanyi Fazley Yaakob memberitahu hatinya tersentuh ketika proses rakaman single terbaharu beliau berjudul Ketiadaan kerana teringatkan arwah bapa iaitu Datuk Yaakob Mohammad yang meninggal dunia pada 8 Februari lalu. Fazley,39, berkata, lagu ciptaan Azlan Abu Hassan itu terlalu istimewa apabila dia yang juga penulis lirik turut menyelitkan beberapa pesanan arwah bapanya dalam lagu berkenaan. "Ia merupakan single terbaru saya selepas lama tidak merakam lagu balada dan lagu Ketiadaan ini terlalu istimewa yang mengingatkan saya kepada arwah ayah. "Saya mengambil pesanan-pesanan Allahyarham sebagai lirik lagu tersebut. Ketika proses rakaman hati saya sebak dan tersentuh, malah adik dan ibu saya menitiskan air mata apabila mendengar keseluruhan lagu itu," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Fazley yang turut dikenali sebagai Chef Selebriti itu berkata, antara salah satu pesanan yang masih segar dalam ingatannya ialah meminta agar dia menjaga ibu mereka dengan baik. Tambahnya, pesanan-pesanan yang dimuatkan dalam lirik lagu itu bukan sahaja untuk dia, malah sesuai kepada siapa yang mendengar dan mengalami kehilangan orang tersayang. "Sebelum Allahyarham meninggal, ada kata-kata dia yang tidak boleh saya lupa iaitu jodoh dan perpisahan adalah ketentuan Allah dan andai dia (ayah) pergi dahulu, doakan arwah sentiasa dan jaga ibu dengan baik. "Secara jujurnya, saya masih rasa kehilangan dia biarpun sudah enam bulan arwah meninggalkan kami sekeluarga," ujarnya. Tambah Fazley, dia juga merancang untuk membuat rakaman muzik video di tiga lakosi termasuk di kediaman peninggalan bapanya di Damansara. Selian itu, penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini, ini berkata, lagu berkenaan juga sebagai memenuhi permintaan peminat-peminatnya yang sering bertanya tentang lagu terbaharunya. "Ramai peminat yang bertanya bila saya ingin keluar lagu balada dan saya rasa ini adalah masa yang paling baik. Saya harap pendengar berpuas hati dan dapat menerima lagu ini," ujarnya. Lagu tersebut akan mula dilancarkan dan boleh didengari di radio mula akhir Oktober ini.