suria

Pelajar PhD & Bekas Wartawan Antara Peserta Lawak Solo

Pelajar PhD, Aaron Aw (duduk dua dari kiri) dan bekas wartawan iaitu KC Nazari (berdiri empat dari kanan) bersama rakan-rakan peserta Lawak Solo yang bakal bersiaran di Astro Warna pada 21 Oktober ini. Foto IBRAHIM MOKHTAR

KUALA LUMPUR: Pelajar Doktor Falasafah (PhD) jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa dan bekas wartawan sebuah portal berita antara 10 peserta yang bakal berentap pada program Lawak Solo terbitan Astro Warna bermula 21 Oktober ini.

Pelajar Univesiti Putra Malaysia (UPM), Aaron Aw, 31, berkata, dia mengambil peluang ini bagi mencabar dirinya untuk berkomedi dalam bahasa Malaysia dengan lebih baik.

"Saya berkecimpung dengan dalam stand up comedy di pentas-pentas kecil sejak tiga tahun lalu, cuma saya membuat lawak dalam bahasa Inggeris.

Peserta Lawak Solo bersama mereka yang terlibat dalam rancangan itu.
"Tapi saya rasa tidak ada masalah kerana saya sering berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan kalau diikutkan saya dapat A dalam matapelajaran Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia," ujarnya kepada mStar Online.

Biarpun, mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang Aeroangkasa, Aaron berkata, dia mahu mencuba sesuatu perkara yang sudah menjadi minatnya sejak kecil.
Katanya, dorongan daripada ahli keluarga juga membuatkan dia berani mencuba nasib di pentas televisyen.

Sementara itu, bekas wartawan Malaysia Kini, KC Nazari, 33, berkata, peluang untuk menunjukkan bakat dalam bidang tersebut dibuka oleh seorang rakan iaitu pelawak Reyza Mukmin yang terlebih dahulu mencipta nama.

Katanya, dia mahu memperkenalkan sebuah komedi yang berbeza dan jarang dilihat di televisyen.

"Saya bergiat aktif dalam bidang stand up comedy sudah lama bersama pelawak Reyza Mukmin yang terlebih mencipta nama apabila bakatnya dikesan oleh Harith Iskander.

Johan (Raja Lawak) diberi peranan menjadi hos Lawak Solo.
"Tapi bagi saya Reyza telah membuka laluan kepada kami yang lain juga supaya keluar untuk memperjuangkan stand up comedy di arus perdana.

"Sudah pasti kami menjanjikan sesuatu yang lain dan bukan sketsa yang biasa dilakukan oleh pelawak-pelawak lain," ujarnya.

Antara peserta lain ialah Danial,23, Mad Sabah, 28, Nizam, 35, AG Hafiz, 28, Wan Gegau, 31, Dinn, 31, Fikry, 22, dan Ridzuan, 22.

Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata, seramai 2,500 orang datang pada uji bakat yang dilakukan pada 13 Ogos hingga 4 September lalu.

Bagaimanapun, hanya 10 sahaja yang benar-benar sesuai dan menepati kriteria yang di cari untuk program baharu ini.

"Ramai yang datang uji bakat tapi kami pilih sepuluh yang terbaik yang mempunyai kriteria yang penonton nak tonton.

"Buat masa ini hanya peserta lelaki sahaja yang banyak menghadiri uji bakat tapi kami buka juga kepada wanita jika ada yang berminat untuk masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu, bagi mengelakkan lawak-lawak lucah dan sensitif terlepas di siaran secara langsung itu, Raqim berkata, siaran tersebut akan dilewatkan lima minit bagi membuat tapisan.

Program Lawak Solo turut melibatkan Nabil Ahmad, Abby Yus, dan Douglas Lim sebagai penasihat komedi. Manakala Saiful Apek dan AC Mizal sebagai juri tetap.

Ia akan dihoskan oleh Johan (Raja Lawak).

Lawak Solo akan bersiaran setiap Jumaat, bermula 21 Oktober, pukul 10 malam di Astro Warna( saluran 132).
Lawak Solo

Artikel Lain