KUALA LUMPUR: Pelakon Hisyam Hamid memberitahu tidak sukar untuknya menjayakan peranan sebagai Rayqal menerusi drama bersiri Abang Bomba I Love You kerana pernah bertugas sebagai anggota bomba selama lapan tahun di Singapura. Hisyam, 31, berkata, pengalaman berkhidmat di Singapore Civil Defence Force banyak membantunya mendalami watak berkenaan selain perkara berkaitan teknikal dan tugas seorang anggota bomba. "Jujur saya katakan saya terus bersetuju apabila lihat tajuknya kerana saya tahu boleh melakukannya kerana pernah ada pengalaman sebagai anggota bomba selama lapan tahun. "Saya tidak fikir perkara lain atau mengharapkan sesuatu luar biasa terhadap drama ini kerana saya tahu mampu melunaskan watak diberikan dengan baik. Hisyam Hamid bakal bergandingan dengan Erra Fazira dalam siri Andartu Bidadariku. "Drama ini dekat dihati saya dan dapat menggunakan ilmu yang ada sebelum ini dalam menghidupkan watak Rayqal itu," katanya kepada mStar Online. Hisyam ditemui pada majlis sambutan ke 20 tahun stesen satelit berbayar Astro di Bukit Jalil di sini, Isnin. Abang Bomba I Love You yang turut menampilkan Amira Othman mendapat sambutan luar biasa apabila episod pertamanya berjaya mengumpul dua juta tontonan. Tambah Hisyam, dia masih seorang anggota bomba ketika popular menerusi drama Ariana Rose tiga tahun lalu namun mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya itu bagi memberi tumpuan kepada lakonan di Malaysia. Dalam pada itu, Hisyam berkata, dia teruja apabila impiannya untuk bergandingan dengan aktres Erra Fazira akhirnya terlaksana apabila mereka kini bertemu dalam drama bersiri berjudul Andartu Bidadariku. Kata Hisyam, dia pada awalnya gementar untuk berlakon bersama wanita itu namun tidak menyangka Erra seorang yang ramah dan merendah diri. "Saya ada beberapa impian yang ingin dicapai dalam karier dan salah satunya adalah berlakon disamping Erra Fazira. "Gementar itu memang ada kerana dia adalah pelakon senior dan saya masih baharu jadi tidak tahu bagaimana ingin berhadapan dengannya ketika di lokasi. "Pemikiran saya meleset kerana Erra sebenarnya seorang yang sangat peramah dan sentiasa merendah diri membuatkan saya selesa," katanya. Kata Hisyam lagi, dia juga memandang tinggi terhadap sikap profesional Erra selain sifat teliti aktres itu dalam pelbagai perkara. "Pada saya disiplin dan sikap merendah diri yang ditonjolkan adalah faktor Erra masih bertahan sehingga hari ini. "Ia juga memberi inspirasi dan pengajaran kepada saya untuk mencontohi nilai-nilai positif yang ditunjukkan," jelasnya.