PETALING JAYA: Bekas juara program Akademi Fantasia musim pertama, Vince Chong sudah bersedia untuk kembali merancakkan karier nyanyiannya selepas beberapa tahun menyepikan diri. Vince atau nama sebenarnya Vincent Chong Ying-Cern, 37, berkata, dia terbuka hati berbuat demikian selepas diundang menjadi juri untuk Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM22) baru-baru ini. "Sudah tiba masanya saya kembali buat 'comeback' dan saya buat keputusan itu selepas bertindak sebagai juri untuk AIM22 baru-baru ini. Vince kini bergelar guru vokal. "Tugas mendengar lagu-lagu dipertandingkan membuatkan saya terfikir banyak karya berkualiti tinggi daripada komposer dan penulis lirik berbakat besar sehingga membuatkan saya bersemangat dan mendapat inspirasi untuk kembali aktif. "Perasaan rindu itu memang sentiasa ada tetapi keputusan mengundurkan diri sebelum ini saya tidak menyesal kerana ia adalah kehendak diri sendiri," katanya kepada mStar Online. Vince ditemui ketika menghadiri majlis sambutan ulangtahun ke-20 tahun Astro di Bukit Jalil dekat sini, Isnin lalu. Dalam pada itu, Vince mengakui antara punca dia meninggalkan bidang nyanyian sebelum ini kerana berasa terkongkong apabila hala tujunya kariernya dikawal oleh orang lain. "Saya tiada suara dalam menentukan apa yang saya mahu lakukan dan terpaksa mengikut segala yang telah diatur untuk saya. "Perasaan tidak ikhlas kerana terpaksa melakukan sesuatu membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri," katanya. Tambah Vince, dia yakin kemunculan semulanya nanti akan diterima baik peminat jika produk yang dihasilkan bersesuaian dan menepati selera pendengar. Vince kini bahagian melayari rumah tangga bersama isteri dan anaknya. "Saya mahu tampil dengan sesuatu yang segar dan menepati citarasa pendengar. Jika saya buat sesuatu dengan ikhlas ia pasti dapat diterima baik. "Ketika ini saya masih dalam proses menyiapkan lagu terbaharu dan berharap ia dapat dilancarkan secepat mungkin," katanya. Sementara itu, bapa kepada Eva Heidi Chong yang kini berusia 18 bulan itu berkata, dia kini sibuk dengan kelas latihan vokal yang dibukanya sejak Mac lalu Vinner Voice. Kata Vince, jadualnya kini padat dengan kelas dikendalikan yang memperlihatkan bukan sahaja pelajar dari kalangan dewasa tetapi juga kanak-kanak. "Pengalaman selama 13 tahun sebagai penyanyi profesional saya ingin kongsikan dengan masyarakat yang ingin mempelajari teknik nyanyian dengan betul. "Syukur sejak dilancarkan pada Mac lalu ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga jadual saya padat menghadiri kelas," ujarnya yang masih aktif mengadakan persembahan tertutup.