suria

Lima Bulan Meringkuk Dalam Penjara, Tony Eusoff Serik

Tony Eusoff memberitahu dia akhirnya dapat memaafkan dirinya terhadap kesalahan yang dilakukan. Foto Arkib THE STAR

PETALING JAYA: Pelakon Tony Eusoff  akhirnya dapat memaafkan dirinya sendiri terhadap kesalahannya memiliki dadah sehingga menyebabkan dia dihukum penjara oleh mahkamah di Singapura sejak Mac lalu.

Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 38, berkata, sepanjang ditempatkan di Penjara Admiralty West Singapura dia diselubungi rasa bersalah atas perbuatannya yang disifatkan sebagai dangkal selain bimbang akan penerimaan masyarakat terhadap dia selepas dibebaskan.

"Lima bulan berada di penjara saya sering diselubungi rasa bersalah bukan sahaja terhadap keluarga dan rakan-rakan tetapi diri sendiri. Sehinggakan saya tidak tahu sama ada saya boleh maafkan diri sendiri atau pun tidak.

Tony dipenjarakan selama lima bulan dan 10 hari di Singapura.
"Pun begitu disebalik pergelutan dengan diri sendiri sebenarnya tempoh berada di penjara adalah satu proses untuk saya maafkan diri saya ini. Syukur selepas dibebaskan saya mula menerima hakikat dan perlu reda dengan apa yang berlaku dan memaafkan diri sendiri.

"Ia membuatkan saya lebih tenang dan bersedia berhadapan dengan masyarakat," katanya ketika dihubungi kepada mStar Online.

Tony yang dikenakan penjara lapan bulan dan dibebaskan pada 1 Oktober lalu selepas menjalani hukuman hanya selama lima bulan 10 hari.

Pembebasan lebih awal itu diberikan kerana berkelakuan baik.

Terdahulu, pelakon filem Sepi itu dihadapkan ke mahkamah pada 31 Mac lepas dan didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah negara berkenaan.

Laporan berita menyebut pelakon itu dipercayai memiliki satu peket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang telah dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja.

Dia didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lepas.

Tony Sudah bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Dalam pada itu, Tony mengakui kesilapan dilakukannya itu amat memalukan namun tekad menerima hukuman akibat perbuatannya itu.

Kata Tony, walaupun sukar namun dia perlu memberanikan diri berhadapan dengan masyarakat walaupun sedar bakal dipandang serong oleh sesetengah pihak.

"Kesalahan yang saya lakukan memang besar selain tidak menghormati undang-undang negara Singapura.

"Tiada alasan yang boleh saya berikan untuk menutup kesalahan itu tambahan pula satu Malaysia sudah tahu dan saya perlu bertanggungjawab dan menerima akibatnya," ujarnya.

Sementara itu, Tony berkata, insiden berkenaan juga membuka matanya untuk menjadi insan lebih baik pada masa hadapan.

"Pengajaran paling besar yang saya dapat ialah kejadian itu membuatkan saya mempersoalkan kembali tentang diri sendiri dan melihat di mana silap dan kekurangan saya.

Tony bersyukur diberi peluang kedua.

"Apa yang pasti saya serik ke penjara dan sangat bersyukur dengan peluang kedua diberikan Tuhan kepada saya.

"Semuanya yang berlaku mempunyai hikmah disebaliknya yang mungkin saya tidak sedar sebelum ini tetapi sekarang saya mula faham," katanya.

Tambah Tony, dia juga terharu dengan sokongan ibu, keluarga selain rakan-rakannya seperti Puan Sri Tiara Jacquelina dan suaminya Tan Sri Effendi Norwawi, Jehan Miskin, Jennifer Thompson dan Chelsia Ng yang banyak memberi sokongan moral sepanjang tempoh sukar itu.

Dalam perkembangan lain, Tony berkata, dia sudah bersedia untuk kembali merancakkan karier seninya dan memberitahu mula mendapat panggilan daripada produksi yang ingin mengambilnya berlakon.

"Saya sudah 'berehat' selama lima bulan dan saya mahu kembali segera bekerja dan memberi fokus kepada karier seni," katanya bersemangat.

Tony Eusoff

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain