SHAH ALAM: Konsert minggu pertama program Gegar Vaganza musim ketiga memperlihatkan kesemua 12 penyanyi profesional bertanding terselamat daripada penyingkiran. Konsert pembuka tirai dengan tema 'kembali menyengat' itu diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad. Seperti dua musim terdahulu, Gegar Vaganza kali turut menampilkan Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri tetap. Manakala pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam tampil sebagai juri jemputan pada konsert minggu pertama. Kesemua peserta diadili 100 peratus menerusi pemarkahan daripada barisan juri. Dalam pada itu, minggu pertama program itu turut diserikan dengan persembahan pembukaan daripada bekas peserta Gegar Vaganza musim kedua iaitu Ezad Lazim, Faradhiya dan juaranya, Siti Nordiana. Ketiga-tiga mereka menyampaikan lagu-lagu popular peserta bagi memperkenalkan semua peserta kepada penonton. Enam peserta lelaki yang mengadakan persembahan adalah Ameng (Sejiwa), G-Mie (Tak Suka Tak Apa), Razis Ismail (Kepulangan), Rem (Semua Orang Tahu), Shidi (Permaisuri) dan Zarul (Ramalanku Benar Belaka). Manakala peserta wanita adalah Nora (Di Persimpangan Delima), Intan Sarafina (Kembali), Zur Eda (Lama Tak Jumpa), Azharina (Elergi Sepi), Siti Sarah (Jangan Kau Mimpi) dan Elly Mazlein (Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan). Gegar Vaganza 3 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Ia turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).