KUALA LUMPUR: Penyanyi Alif Satar melihat penglibatannya sebagai pengacara merupakan satu langkah untuk meningkatkan kariernya dalam industri seni. Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 26, berkata, walaupun nyanyian adalah minat utamanya namun dia tidak melihat ia sebagai satu kesalahan untuk mencuba pelbagai cabang dalam bidang seni. "Alhamdulillah rezeki saya dalam bidang pengacaraan semakin terbuka luas sejak akhir-akhir ini dan saya melihat ia sebagai satu langkah kehadapan dalam karier seni saya. "Ini juga peluang saya untuk pergi lebih jauh dan menjadi harapan saya dapat menjadi seorang selebriti yang versatil seperti mana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Datuk Sudirman," katanya kepada mStar Online. Alif ditemui pada sidang media memperkenalkan hos Anugerah Skrin 2016 (ASK2016) di sini, Rabu. Penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku itu bakal bertindak sebagai hos utama acara berkenaan disamping lapan pengacara bersama. Alif Satar. ASK2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 November depan. Dalam pada itu, Alif berkata, dia selesa dengan bidang pengacaraan kerana ia bulan satu perkara baharu buatnya. Kata Alif, sebelum ini dia pernah mengacarakan beberapa buah program terbitan TV3 seperti Remaja, Idola Kecil selain terbaharu Akademi Fantasia 2016 terbitan Astro. "TV3 sebenarnya membuka ruang kepada saya dan mempercayai kebolehan dan bakat dalam bidang pengacaraan sejak saya mula-mula menceburkan diri sebagai artis,” katanya. Sementara itu, Alif mengakui gementar dengan tugasan sebagai ASK2016 kerana ia sebuah acara berprestij namun yakin dapat melaksanakan kepercayaan diberikan oleh pihak penganjur. Kata Alif, dia juga bertuah kerana bakal bergandingan dengan lapan pengacara bersama pada malam itu nanti yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. "Rasa seram pun ada kerana ASK adalah acara berprestij tetapi saya berbesar hati kerana diberikan peluang ini. "Tetapi Insya-Allah saya akan berikan terbaik dengan bantuan rakan-rakan pengacara bersama yang lain," katanya. Lapan pengacara bersama yang bakal mengendalikan ASK2016 adalah Sarimah Ibrahim, Ammar, Mira Filzah, Issey Fazlisham, Ajak Shiro, Haiza, Fiza Sabjahan, Azrel Ismail dan Puteri Aishah. Acara karpet merah pula akan dikendalikan Nana Mahazan dan Hefny Sahad.