suria

SPRM Jadikan 'Pencetus Ummah' Sebarkan Bahaya Rasuah

Peserta Pencetus Ummah bersama Pengurus Saluran Astro Oasis Ahmad Fuad (tiga dari kiri), Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Datuk Shamshun Baharin, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Abdul Samat Kasah dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Norizan Abu Samah.

PUTRAJAYA: Program realiti Pencetus Ummah musim keempat dijadikan platform oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyampaikan mesej mengenai bahaya rasuah kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, program realiti berkenaan dilihat mampu membantu agensi tersebut dalam memupuk kesedaran di kalangan masyarakat.

"Kami percaya pendekatan SPRM dalam menyampaikan mesej harus dalam pelbagai cara, tidak mengira platform, sama ada secara bersemuka, berkumpulan atau pelbagai medium lain yang pantas, ringkas namun meninggalkan kesan berpanjangan.

"Kami berterima kasih kepada Astro kerana bersetuju menyiarkan kandungan program yang bakal mengupas pelbagai aspek mengenai integriti diri, rasuah dan pencegahannya dengan menyorot kisah tauladan tentang bahaya rasuah," ujarnya kepada mStar Online.

Shamshun Bahrin.

Shamshun Bahrin ditemui pada sidang media kerjasama SPRM dengan program Pencetus Ummah yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM, di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, tambah beliau, golongan penonton program berkenaan yang kebanyakkan bawah 40 tahun antara golongan sasaran pihak SPRM.

"Peserta dan penonton program ini rata-rata di bawah 40 tahun, yang mana ia merupakan salah satu golongan yang diberi penekanan.

"Statistik penangkapan tiga tahun menunjukkan 55 peratus pesalah adalah berumur di bawah 40 tahun yang menjalani gaya kehidupan mewah melebihi pendapatan yang diperoleh setiap bulan," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali, berkata, topik berkaitan pencegahan rasuah akan dikupas oleh seorang peserta setiap minggu.

Katanya, tetamu khas dari SPRM turut diundang bagi menyampaikan tazkirah berkaitan pencegahan rasuah dalam salah satu episod program itu.

"Kita berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama ini dan setiap minggu akan ada peserta yang akan mengupas topik berkaitan rasuah secara santai.

"Salah satu topik yang bakal dikupas ialah tentang hadiah yang mana menjadi kekeliruan sama ada ia hadiah atau rasuah," ujarnya.

Selain itu, Astro juga akan berkongsi platform media sosial seperti Facebook dan portal-portal milik stesen televisyen berkenaan bagi mempercepatkan penyebaran mesej yang ingin disampaikan SPRM.

Program Pencetus Ummah akan bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD, pukul 9 malam bermula 27 Oktober ini.

Pencetus Ummah, SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain