PETALING JAYA: Penyanyi baharu iaitu Ushera Yusof memilih lagu klasik sebagai pertaruhan menerusi album pertamanya iaitu Semalam di Malaya kerana ingin mengangkat warisan muzik yang pernah mewarnai pada era pra-kemerdekaan. Ushera berkata, menerusi lagu-lagu klasik itu juga dia ingin memberi peluang kepada generasi baharu mengenali warisan artistik dan budaya negara ini sambil membawa pendengar kembali ke zaman kegemilangan muzik tanah air. "Melalui Semalam di Malaya, saya bukan sahaja ingin mengimbau semula memori nostalgia di kalangan generasi lama tetapi juga mengambil kesempatan ke atas perhatian yang semakin banyak diberikan oleh generasi baru terhadap warisan artistik dan budaya negara ini. "Ia sekaligus dapat membawa pendengar kembali ke zaman kegemilangan muzik di Malaysia pada suatu ketika dahulu," katanya. Album berkenaan mengandungi sebelas lagu klasik di dalam irama orkestra, Latin, muzikal dan Jazz termasuk Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, Polynesia Mambo dan Chuchi Kain Chuchi Mata. Dalam pada itu, Ushera berkata, dalam memastikan muzik asal dipelihara dia memutuskan mengekalkan keaslian bunyi menerusi lagu-lagu yang dipilih untuk rakaman semula. Tambahnya, bersama penerbit, Ganesh Bala, perubahan yang dilakukan hanya menambah dinamik dan sentuhan teknologi moden agar produk akhir dapat memberikan pengalaman sinematik dalam spektrum holistik bagaikan menonton sebuah pertunjukan di dalam dewan konsert. "Sebagai penghormatan saya mengekalkan keaslian bunyi audio klasik dari era tersebut tanpa mengubah melodi kerana ingin keharmonian irama yang asal. “Saya amat berhati-hati untuk tidak mengubah terlalu banyak versi asal lagu-lagu yang dirakamkan kerana komposisi karya-karya tersebut sudahpun begitu indah. Tambahnya, mereka mengambil masa selama tujuh bulan untuk menyiapkan album berkenaan termasuk proses pemilihan lagu. Sementara itu, Ushera berkata, menerusi projek khas ini juga dia banyak mempelajari tentang sejarah Tanah Melayu termasuk memperbaiki mutu nyanyiannya. "Saya mengkaji tentang wanita di zaman itu serta perilaku mereka dan cuba untuk membawa ciri-ciri ini di dalam persembahan saya. "Yang lebih penting, saya juga belajar untuk menyanyi dengan lebih baik kerana lagu klasik Melayu bila didengar bagaikan mudah untuk dinyanyikan tetapi ia tidak seperti yang disangkakan," katanya. Dalam perkembangan lain, Ushera berkata, album berkenaan bakal dilancarkan di Brunei Darussalam pada Disember ini selain merancang siri jelajah bagi mempromosikan Semalam di Malaya selain menyertai festival muzik seluruh dunia.