suria

Berjaya Kutip RM1.5 Juta Bukti 'Rock Bro' Ramai Pengikut

Mamat Khalid (dua dari kanan) menaruh keyakinan terhadap Rock Bro.

PETALING JAYA: Pengarah filem Mamat Khalid menyifatkan kutipan filem terbaharunya Rock Bro yang mencecah RM1.5 juta hanya dalam masa lima hari tayangan sebagai bukti pengikut trilogi naskhah itu masih ramai.

Mamat berkata, kutipan memberangsangkan filem itu setakat ini disebabkan ia kesinambungan terakhir daripada dua naskhah terdahulu iaitu Rock (2005) dan Rock Oo (2013).

"Ini adalah episod terakhir dan semua peminat trilogi ini ingin tahu tentang kesudahan kumpulan Rimba Bara kerana selepas ini tiada lagi kisah mengenai mereka.

"Ia juga bukti filem ini memang menjadi penantian peminat setia yang mengikuti dua siri terdahulu sebelum ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.

Rock Bro
dibintangi Khir Rahman, Amy Jueliet, Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Norazmi Bahron, Kamarool Yusof, Shuib, Sharwani Hamad, Datuk Hattan, Esma Daniel dan Jihan Muse.

Barisan pelakon filem Rock Bro.

Ia mula ditayangkan sejak 27 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Mamat berkata, dia tidak menyasarkan kutipan tertentu untuk Rock Bro kerana baginya kutipan RM1.5 juta tersebut sudah menjadi bonus kepadanya.

Ini kerana kata Mamat, apa yang paling penting dia sudah memberikan terbaik untuk filem berkenaan dan menyerahkan ia kepada penonton membuat penilaian.

"Tentang kutipan susah hendak dijangka tetapi sebagai pengarah saya tidak meletakkan sasaran tertentu kerana apa yang paling penting penonton menyukainya.

"Saya percaya jika sesebuah filem itu bagus mesti ia akan tersebar dengan cepat dan akan lebih ramai datang menonton," ujarnya.

Sementara itu, Mamat berkata, dia tidak merancang untuk menyambung kisah Rimba Bara kerana jalan ceritanya sudah ditamatkan dalam Rock Bro walaupun ia mendapat sambutan hangat.

Rock Bro, Mamat Khalid

Artikel Lain