PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor lebih selesa menguruskan anaknya iaitu Jonah Joshiah Rivera yang kini berusia 15 bulan tanpa bantuan pembantu. Jaclyn atau Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 38, berkata, dengan pelbagai kejadian kanak-kanak didera oleh pengasuh membuatkan dia berasa bimbang untuk menyerahkan anak lelakinya dijaga oleh orang lain. "Sejak Joshiah dilahirkan sehingga sekarang saya dan suami menguruskan dan menjaganya tanpa bantuan orang lain kerana lebih selesa berbuat demikian. "Jika saya dan suami terikat dengan komitmen kerja baharulah saya minta ibu bantu menjaga anak dan kebetulan kami tinggal berjiran. "Kejadian penderaan kanak-kanak yang dilaporkan di media sedikit sebanyak membuatkan saya takut untuk beri orang lain yang jaga," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Jaclyn berkata, walaupun sudah bergelar ibu dia tidak terfikir untuk memperlahankan karier muziknya. Jac sedang dalam proses menyiapkan single terbaharunya. Sebaliknya dia yakin dapat membahagikan masa dengan baik tanpa mengabaikan keluarga dan anak. "Karier muzik saya masih berjalan seperti biasa dan tidak pernah menjadikan status sebagai seorang ibu sebagai halangan. "Apa yang paling penting adalah pengurusan masa yang baik untuk mengimbangi kedua-duanya," jelas Jaclyn. Sementara itu, Jaclyn berkata, dia kini tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman dan merancang untuk melancarkan single terbaharu menggunakan wangnya sendiri. Sudah tiba masanya dia berdikari dalam menentukan hala tuju karier seninya tanpa bergantung harap kepada pihak lain. "Banyak artis seperti Anuar Zain yang bergerak sendiri dalam menghasilkan album dan saya ingin menjadi sepertinya. "Saya sedang dalam proses melancarkan single terbaharu tetapi butirannya masih rahsia buat masa ini," katanya. Bercakap mengenai separuh akhir Muzik-Muzik 31, lagu nyanyian Jaclyn iaitu Seindah Mimpi ciptaan Edry Abdul Halim bakal berentap pada minggu kedua pertandingan itu pada Jumaat ini bagi merebut 12 tempat di Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31). Jaclyn berkata, dia berasa gemuruh untuk bertanding kerana melihat senarai terpilih ke peringkat separuh akhir adalah hebat-hebat belaka.