suria

Zara Zya Sering Didekati Lelaki Berniat Serong

Zara Zya mendedahkan sering dihimpit lelaki yang mempunyai niat tidak baik terhadapnya. Foto Ihsan Instagram @zarazya

SHAH ALAM: Pelakon Zara Zya mendedahkan sering didekati oleh lelaki yang ingin mengambil kesempatan malah ada yang sanggup menaja kehidupannya hanya kerana statusnya sebagai selebriti.

Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 31, bagaimanapun berkata, dia tidak pernah sesekali terjerat dengan tawaran mewah yang dijanjikan atau terpedaya dengan individu yang ingin mengambil kesempatan kerana sedar ia tidak membawa sebarang kebaikkan.

"Ada ramai lelaki mahu berkenalan tetapi tidak ada yang betul-betul serius sebaliknya sekadar ingin 'berseronok' dan mengambil kesempatan.

"Malah ada yang sanggup menaja kehidupan saya hanya kerana saya adalah seorang artis.

"Mujur saya bukan wanita yang mudah diperdaya malah mudah untuk saya tolak pelawaan daripada lelaki sebegini daripada terus menggangu," katanya kepada mStar Online.

Zara bakal muncul dengan telefilem terbaharu berjudul Jatuh Cinta Buta.
Zara ditemui pada majlis pembukaan butik keenam Estetika Medispa, Shah Alam dekat sini, baru-baru ini.

Pelakon itu berkata demikian apabila ditanya berhubung statusnya yang masih solo dan jarang dikaitkan dengan mana-mana lelaki sebelum ini.

Dalam pada itu, bercakap soal kahwin, Zara berkata, dia tidak menolak sekiranya dipertemukan jodoh dalam waktu terdekat walaupun tidak merancang ke arah itu buat masa ini.

"Andai ditakdirkan dalam perjalanan balik nanti saya terjumpa lelaki yang boleh membuka pintu hati saya, esok juga saya boleh kahwin.

"Soal kriteria lelaki pilihan, cukuplah dia seorang yang matang, stabil dari segi ekonomi dan boleh membimbing saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zara berkata, dia merancang untuk membuka sebuah kafe berkonsepkan kemelayuan pada awal tahun hadapan selain memberi fokus mengembangkan perniagaan tudung secara dalam talian yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

"Saya akui seorang yang tidak bijak merancang perbelanjaan terutamanya selepas bergelar pelakon tetapi saya mula berfikir serius tentang masa hadapan.

"Sebagai langkah persediaan saya berjinak-jinak dalam perniagaan dan Insya-Allah pada tahun hadapan saya akan membuka kafe sendiri.

"Menjadi cita-cita saya juga untuk membina sebuah rumah untuk ibu saya dan berharap impian itu menjadi kenyataan," ujarnya.

Sementara itu, Zara berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Jatuh Cinta Buta bersama pelakon Redza Rosli untuk terbitan Astro.
Zara Zya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain