suria

Artis Ajak Jayakan Misi Bantuan 'Peace For Yamen'

Antara artis dan mereka yang terlibat dalam Peace For Yamen. Foto dari Instagram Salima Habibi.

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Muslim Care Malaysia (MCM) dengan kerjasama selebriti tempatan melancarkan misi kemanusian bagi membantu umat Islam di Yaman menerusi kempen Peace For Yemen.

Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pelancaran kempen itu bertujuan untuk mendedahkan kepada umum tentang kesengsaraan umat Islam di Yaman tidak didendangkan sebelun ini berbanding kisah kesengsaraan di Syria dan Palaestin.

"Sebelum ini ramai di antara kita tahu tentang kesengsaraan umat Islam di Syria dan Palestin tetapi tidak di Yaman, keadaan umat Islam di sana terlalu sengsara namun kurang didedahkan.

"Justeru kami di MCM amat mengalu-alukan penyertaan artis di mana mereka boleh menjadi medium terbaik untuk hebahkan misi murni ini kepada umum berdasarkan pengaruh yang mereka ada,” katanya kepada mStar Online.

Zulkifli ditemui pada majlis pelancaran kempen dan misi kemanusiaan Peace For Yamen di Hotel Park Royal Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.

Antara artis yang hadir dalam program itu ialah Afdlin Shauki, Heliza Helmi, Zain Saidin, Hafiz Hamidun, Yatt Hamzah, Adam Corrie dan Salima Habibi.

Tambah Zulkifli, memburukkan lagi keadaan di Yaman apabila wabak Cholera sudahpun merebak dengan beberapa kematian dicatatkan.

Afdlin Shauki menunjukkan kesediaannya untuk terlibat dalam kempen kemanusiaan Peace For Yamen. Foto ROHAIZAD DARUS

"Data yang diperoleh menyatakan lebih 10 ribu rakyat Yaman terbunuh, 30 ribu hilang tempat tinggal, 19 juta putus bekalan air bersih dan hampir 15 juta rakyat gagal dirawat dengan betul," katanya.

Sementara itu majoriti artis yang terlibat di dalam misi ini mengakui isu kesengsaraan rakyat Yaman merupakan perkhabaran baru bagi mereka biarpun ia telah berlaku pertengahan tahun lepas.

Sementara  itu Afdlin mengakui turut terkejut dengan kesengsaraan yang menimpa masyarakat Islam di negara itu biarpun sebelum ini dia agak aktif dengan misi kemanusiaan bersama Aman Palestine dan Syria.

"Biarpun sebelum ini saya sudah bersama sukarelawan untuk Aman Palestine dan Syria, itu bukan alasan untuk saya tidak ambil peduli tentang kesengsaraan rakyat Yaman sekalipun perkara ini masih baru dipengetahuan saya," katanya.

Pelakon Yatt Hamzah dan Adam Corrie turut mengambil pendekatan  untuk sama-sama menyalurkan keuntungan perniagaan mereka ke tabung Peace For Yemen.

"Sebelum ini saya pernah buat untuk tabung Aman Palestine dan Syria, Insya-Allah untuk bulan November dan Disember saya akan memberi fokus pada konflik di Yaman pula," kata Yatt Hamzah.

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan ke tabung Peace For Yemen boleh hubungi Zakaria menerusi nombor 012-6935938 atau Johari (016-9978323).

Artis, Peace For Yamen

Artikel Lain