suria

"Ogy Patut Guna Cara Lain Tegur Saya" - Elly Mazlein

Elly Mazlein kini bergelar duta produk Neng Geulis. Foto Ihsan Instagram @iamellymazlein
KUALA LUMPUR: Penyanyi Elly Mazlein masih mempunyai rasa hormat terhadap Fauziah Ahmad Daud sebagai orang yang lebih tua walaupun primadona itu lantang mengkritiknya di laman sosial berhubung isu dia menarik diri menerusi program Gegar Vaganza 3 (GV3) pada 6 November lalu.

Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, bagaimanapun berkata, dia berharap Fauziah menggunakan cara lain untuk menegurnya daripada meluahkan pendapat secara terbuka sehingga menyebabkan ia menjadi perbalahan peminat.

"Pada saya banyak cara dia boleh bercakap termasuk menegur saya secara peribadi jika tidak berpuas hati tetapi perkara sudah pun berlaku dan saya ingin lupakan sahaja.

"Biarpun dia serang saya tetapi saya tetap menghormatinya bukan sahaja sebagai pelakon senior dan orang yang lebih tua daripada saya tetapi melihatnya sebagai seorang ibu.

"Hendak bergaduh pun sampai bila? Ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan dan saya terima sahaja apa yang orang hendak katakan kepada saya," ujarnya kepada mStar Online.

Elly ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Neng Geulis yang diadakan di Hotel Majestic di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Elly berkata, dia tidak pernah mengenali rapat Fauziah atau Ogy namun mengakui wanita berkenaan pernah bertindak sebagai pengarah drama lakonannya berjudul Bukan Yang Pertama pada 2005.

Elly mahu memberi fokus kepada perkara positif yang berlaku dalam hidupnya.

Kata Elly, ketika itu hubungan yang terjalin di antara mereka sekadar profesional di set dan tidak berkesempatan untuk mengenali Ogy secara peribadi.

"Apabila Kak Ogy mengatakan dia kenal saya, saya sebenarnya tidak mengenalinya secara peribadi untuk mengulas panjang tentang tujuannya mengkritik saya.

"Kami bekerjasama pun 11 tahun lalu dan itu pun dia hanya sempat mengarah separuh sahaja drama berkenaan sebelum diganti orang lain kerana masalah tertentu," ujarnya.

Elly turut memberitahu salah faham yang berlaku di antaranya dengan personaliti radio, Fara Fauzana juga telah selesai apabila mereka bersemuka ketika konsert Gegar Vaganza Ahad lalu.

Kata Elly, dia kebetulan duduk bersebelahan Fara dan penyampai radio itu memohon maaf kepadanya berhubung salah faham kononnya Fara memerlinya ketika mengacarakan separuh akhir Muzik-Muzik 31 pada Jumaat lalu.

"Fara ada menegur saya dan bertanya sekiranya saya marah terhadapnya dan jujur saya memberitahunya saya memang marah.

"Tetapi saya menghormati Fara kerana dia meminta maaf dan saya terima dengan baik kerana mungkin dia tidak sengaja atau pun tersilap kata.

Fauziah Ahmad Daud.

"Memang pada awalnya saya terasa hati tetapi ia perkara kecil dan kami pun sebenarnya tiada sebarang masalah cuma salah faham sahaja. Semuanya sudah selesai," katanya.

Sementara itu, Elly berkata, walaupun teruk dikritik namun dia menganggap ia dugaan kecil kepadanya selain menyifatkan ia sebagai asam garam sebagai seorang artis.

"Sebagai anak seni saya tidak boleh terlalu sensitif setiap kali dikritik dan apa yang berlaku kepada saya sekarang sebenarnya hanyalah dugaan kecil sahaja.

"Sebelum ini saya pernah dihentam lebih teruk lagi dan ia normal apabila orang menyuarakan pendapat dan kritikan.

"Saya selalu beritahu diri dugaan yang melanda saya kecil berbanding dengan kegembiraan dan rezeki yang Allah berikan kepada saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Elly berkata, dia bersyukur apabila terpilih sebagai duta bagi mewakili produk keluaran Neng Geulis iaitu pakaian wanita selama setahun.

Kata Elly, selain bertindak sebagai duta produk dia juga turut menyumbangkan idea untuk koleksi 'ready to wear' yang dilancarkan.

"Alhamdulillah sejak menyertai Gegar Vaganza rezeki saya memang bertambah dan pemilihan sebagai duta Neng Geulis ini adalah rezeki untuk anak saya.

"Insya-Allah saya akan turun padang untuk bertemu peminat di seluruh Malaysia termasuk Singapura untuk mempromosikan koleksi pakaian keluaran jenama tersebut," katanya yang kini sinonim dengan panggilan 'Kak Lina Pom Pom''.

Elly Mazlein, Fauziah Ahmad Daud

Artikel Lain