PETALING JAYA: Penyanyi Akim Ahmad bakal menunjukkan akan menyanyikan lagu dalam Bahasa Tamil apabila bakal muncul pada persembahan pembukaan konsert akhir program Superstar Endrum 16 yang bakal berlangsung pada Sabtu ini. Akim atau Afiq Hakim Ahmad, 25, akan menyampaikan lagu klasik berjudul Endrum 16 namun telah diberi nafas baharu dan persembahan itu nanti turut diiringi alunan gitar oleh Rody Kristal dan kumpulan Hyper Baby Act. Selain Akim, beberapa artis tempatan lain seperti Reshma (AF), Kashika (Ceria Popstar), Darkey, Vicanes Jay, Magen, Queen, Hariharan, Hasmitha dan Daraneswary juga turut bergandingan untuk mempersembahkan lagu itu sebagai kelainan. Superstar Endrum 16 bakal berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam dekat sini. Ia juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran Astro Vinmeen (CH231), Astro Vaanavil (CH201) dan juga menerusi perkhidmatan Astro on the Go (AOTG) bermula pukul 8 malam. Superstar Endrum 16 merupakan pertandingan nyanyian Tamil pertama anjuran Astro yang sudah diterbitkan selama 16 musim sejak tahun 2001. Pertandingan ini juga merupakan platform yang memberi peluang kepada golongan belia untuk mencapai impian mereka dalam industri muzik Tamil. Seramai lebih 300 hadir sewaktu sesi ujibakat namun hanya 16 peserta terbaik yang berjaya disenarai pendek untuk menyertai musim ini. Juara program Superstar Endrum 16 bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000, sebuah kereta Honda HRV beserta sebuah trofi sumbangan Astro. Manakala naib juara pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 beserta sebuah trofi. Sementara pemenang tempat ketiga pula bakal membawa pulang wang tunai RM6,000 beserta trofi.