suria

Edry Komposer Terbanyak Terima Royalti MACP

Edry menerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ketiga berturut-turut. -IBRAHIM MOHTAR/TheStar

PETALING JAYA: Komposer terkenal Edry Abdul Halim tampil sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ketiga berturut-turut pada malam mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2016 yang diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara di sini, Ahad.

Pengerusi MACP iaitu Habsah Hassan turut mempertahankan kemenangannya menerusi kategori Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Najwa Latif pula dipilih sebagai penerima trofi kategori Komposer Muda Berpotensi.

Manakala, komposer dan penyanyi Hamdan Atan atau A. Ali menerima Anugerah Nadi Cipta atas sumbangannya dalam industri muzik.


Habsah Hassan memenangi kategori Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.

Anugerah MACP merupakan penghargaan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil karya untuk perkembangan industri seni negara.

Hasil royalti yang dikutip oleh MACP adalah daripada persembahan muzik di stesen-stesen televisyen dan radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang dilesenkan oleh badan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, lagu ciptaan Wong Yu Ri berjudul Together menerima anugerah Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak nyanyian Sleeq, Tiz Zaqyah dan Zain Saidin.

Manakala lagu Gadis Jolobu ciptaan DJ Fuzz, Waris dan Datuk Hattan mempertahankan kemenangan tahun lalu menerusi kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak.

Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd juga mempertahankan kemenangan sebagai Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sementara itu, Habsah ketika ditemui berkata, sebagai menyahut saranan kerajaan pihaknya dan badan-badan berlesen lain akan bergabung mempermudahkan proses pengutipan royalti daripada pengguna-pengguna muzik.


Hamdan Atan atau A. Ali menerima Anugerah Nadi Cipta.

Kata Habsah, MACP akan bertindak sebagai sekretariat dalam memastikan semua badan terlibat dalam menjayakan gabungan berkenaan.

"Ia bukan mudah usaha menyakinkan badan-badan terlibat serta mereka yang berada dalam industri.

"Pun begitu atas kesungguhan dan meletakkan kepentingan ahli sebagai matlamat utama kami bersetuju bekerjasama," katanya.

Kata Habsah badan yang turut terlibat dalam gabungan itu adalah Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad), Pengerusi Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM).

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Berikut adalah senarai penuh penerima Anugerah MACP 2016:

1. Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak

Lagu : Together
Komposer & Penulis Lirik: Wong Yu Ri
Penyanyi: Sleeq, Tiz Zaqyah & Zain Saidin


2. Persembahan Lagu Melayu Terbanyak

Lagu: Gadis Jolobu
Komposer & Penulis Lirik: DJ Fuzz, Waris & Datuk Hattan
Penyanyi: Waris & Datuk Hattan


3. Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak

Lagu: Putih-Putih Melati
Komposer & Penulis Lirik: Ilham Febri
Penyanyi: ST12


4. Persembahan Lagu Cina Terbanyak

Lagu: Woi Ai Ta
Komposer & Penulis Lirik: Chen Wei Quan & Huang Ting
Penyanyi: Della


5. Lagu Pendapatan Luar Negara Tertinggi

Lagu: Tian Hou
Komposer & Penulis Lirik: Peng Xue Bin
Penyanyi: Andrew Tan


6. Komposer Muda Berpotensi

Najwa Latif


7. Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak

Luncai Emas Sdn Bhd


8. Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak

Universal Music Publishing Sdn Bhd


9. Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak

Habsah Hassan


10. Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak

Edry Abdul Halim


11. Nadi Cipta

Hamdan Atan (A. Ali)

Artikel Lain