suria

Kontroversi Artis GV3 Beri Impak Positif Buat Vida

Datuk Seri Vida ketika muncul di pentas Gegar Vaganza 3.
PETALING JAYA: Penaja program realiti Gegar Vaganza 3 (GV3), Dato Sri Vida menyifatkan kontroversi yang melanda artis-artis dalam program itu memberi impak positif kepada penjualan produknya, Pamoga Qu Puteh.

Vida atau Hasmiza Othman, 45, berkata, perkara itu bukan bermaksud dia sengaja menaguk di air keruh kerana setiap kontroversi yang timbul bukanlah sesuatu yang dirancang.

"Sudah menjadi lumrah apabila berlaku satu-satu kontroversi yang membabitkan artis di GV3, orang akan terus memberi perhatian pada program tersebut dan di situ saya mengambil peluang untuk mempromosikan produk saya kerana ini adalah matlamat asal saya menaja.

"Pun begitu, itu tidak bermakna saya mengalu-alukan kehadiran kontroversi  sebaliknya jauh di sudut hati saya berasa amat kasihan pada artis-artis ini kerana terpaksa berhadapan dengan netizen-netizen yang hanya tahu menghukum tetapi tidak tahu kisah sebenar,” katanya kepada mStar Online.

Vida ditemui pada majlis apresiasi Hi-Tea memperkenalkan dua hos baru program 'Jom Singgah' TV3 di Hotel One World, Petaling Jaya, di sini pada Selasa.

Dua hos baru tersebut ialah Dayah Bakar dan Akhmal Nazri di mana mereka akan sama-sama memeriahkan rancangan 'Jom Singgah' bersama dua pengacara asalnya, Ifa Raziah dan Tun Nadia.

Dalam pada itu kata Vida lagi, dia tidak menolak kemungkinan majoriti penonton terus melekat dengan program itu adalah kerana kisah-kisah sensasi artis yang didedahkan.

"Tidak saya nafikan program Gegar Vaganza ini terus 'meletup' kerana orang-orang kita tidak sekadar mahu menonton nyanyian artis-artis kesayangan mereka tetapi mahu melihat lebih daripada itu.

"Justeru bila ada 'drama' di mana kisah-kisah peribadi artis mula diperkatakan, ini menjadi sebahagian kenapa program ini terus diberi perhatian,” katanya.

Katanya lagi, apa yang diharapkan setiap artis yang terkena tempias kontroversi selama menyertai pertandingan itu mempunyai semangat yang kuat dan tidak mudah melatah terhadap sebarang kritikan netizen terutama di media sosial.

Antara kontroversi yang berlaku apabila penyanyi Elly Mazlein membuat keputusan tidak meneruskan hasrat meyertai rancangan itu serta kontroversi di mana ada artis menolak lagu yang diberikan.
Vida, GV3, Gegar Vaganza

Artikel Lain