KUALA LUMPUR: Pengacara terkenal Harith Iskander dan penyanyi Adibah Noor bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang bakal berlangsung pada 18 Disember depan. Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim dalam sidang media yang diadakan di Hotel Parkroyal di sini pada petang Khamis. Penyampai radio dan penyanyi Aril Pilus dan pengacara Shamim Farid pula bakal bertindak sebagai pengacara Karpet Merah AIM22. Rosmin ketika ditemui berkata, pemilihan Harith dan Adibah dibuat bagi menampilkan kelainan selain yakin dengan keserasian pasangan berkenaan di atas pentas. Aril Pilus (kanan) Shamim Farid akan menjadi hos karpet merah. Foto dari Instagram Aril Pilus. "Adibah terutamanya bukan wajah baharu sebagai hos AIM di mana sebelum ini pernah muncul bersama Afdlin Shauki dan Bob Lokman. "Untuk tahun ini kita pilih kelainan dengan menggandingkannya bersama Harith kerana yakin dengan keserasian mereka. "Kemahiran komunikasi mereka bersama penonton juga adalah faktor utama pemilihan mereka sebagai hos AIM," ujarnya. Dalam perkembangan sama, AIM22 turut menjanjikan persembahan daripada barisan artis terkenal iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Hazama, Khalifah, SonaOne, Yuna, Sufian Suhaimi, Projector Band, Ameng dan Akim & The Majistret. Manakala penyampai anugerah pula bakal menyaksikan kemunculan Aaron Aziz, Hafiz Suip, Amyra Rosli, Datuk M. Nasir, Estranged dan Forteen. AIM22 bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada pukul 9 malam. Ia turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD. Penganjuran tahun ini menyaksikan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengungguli senarai pencalonan daripada 16 kategori dipertandingkan tahun ini.