PETALING JAYA: Penyanyi Hasnol tidak menyangka kursus pertahanan awam dan kecemasan yang dipelajari tiga hari lalu dipraktikan secara realiti dengan membantu wanita warga asing yang parah ditikam di Putra Height dekat sini, pada Jumaat. Bekas peserta Gegar Vaganza musim pertama itu, Hasnol Hassan, 46, berkata, biarpun berasa gementar, namun dia bangga dapat bersama doktor bagi membantu menyelamatkan nyawa wanita itu. "Saya dengar orang menjerit di belakang pejabat saya tapi tidak sangka pula ada berlaku pergaduhan serius, lantas saya bergegas keluar. "Alangkah terperanjatnya apabila melihat seorang wanita parah ditikam dengan bahagian perut terburai, ia seperti tidak percaya dan menyangka ada orang ingin cuba menguji saya. Maklumlah saya baharu tamat kursus Akademi Pertahanan Awam beberapa hari lalu," ujarnya kepada mstar Online. Beginilah keadaan mangsa warga asing yang menjadi mangsa ditikam. Foto dari Facebook Zack Koolg. Hasnol berkata, detik tersebut merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dia terus terpanggil memberi bantuan dan menggunakan pengetahuannya dalam kursus yang dihadiri baru-baru ini. Katanya, dia bertindak menenangkan doktor yang sedang merawat mangsa termasuk membantu memeriksa kecederaan wanita itu. "Ketika itu keadaan memang agak kelam-kabut dan doktor juga cemas kerana tiada pembantu, saya terus memberi bantuan memeriksa mangsa seperti apa yang pernah saya pelajari baru-baru ini. "Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya dapat menenang dan memudahkan urusan doktor untuk membuat rawatan kecemasan kepada pesakit," ujarnya. Difahamkan wanita tersebut terbabit dengan perbalahan dengan seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya. Hasnol berkata, pihak polis juga sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabatnya untuk sisatan lanjut.