suria

Wan Maimunah Alami Bengkak Jantung, Jangkitan Kuman

Zulkifli Mohamad atau Zack (Kool) menyampaikan sumbangan bagi pihak Seniman kepada Wan Maimunah ketika melawat seniwati itu di Hospital Jasin, Melaka pada Ahad. Gambar ihsan Zack.
PETALING JAYA: Seniwati Wan Maimunah kini dirawat di Hospital Jasin, Melaka selepas mengalami bengkak jantung dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Timbalan Presiden, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zulkifli Mohamad, 50, berkata, Wan Maimunah atau nama sebenarnya Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 63, dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lalu selepas mengalami sakit dada.

“Kak Wan sebelum itu sudah mendapatkan rawatan di beberapa hospital namun penyakitnya gagal dikesan sehiggalah pihak Hospital Jasin mengesyaki dia menghidap sakit berkenaan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Zack, bekas anggota kumpulan Kool berkata, pihak Seniman mendapat tahu berita itu beberapa hari lalu dan terus memutuskan melawatnya pada Ahad untuk bertanya khabar dan memberi sedikit bantuan.

Kata Zulkifli, dalam pertemuan itu Wan Maimunah menceritakan sebelum ini dia mengerjakan umrah sebelum pulang dan tinggal bersama anak angkatnya di Sungai Udang, Melaka.

Menurutnya,  Wan Maimunah sering mengalami sakit dada sehinggalah dia ditahan di hospital itu ketika mendapatkan rawatan.

Wan Maimunah (tengah) menitiskan air mata ketika menerima kunjungan Zulkifli atau Zack (kiri) bersama Zuraini Kasim. Foto ihsan Zack.
Dalam pertemuan itu Wan Miamuah menangis kerana tidak menyangka ada pihak  yang masih mengingatinya dan sudi meluangkan masa melawat dia yang kini sedang sakit.

“Dalam pertemuan itu Kak Wan turut meluahkan perasaan sedih apabila dia tidak lagi mendapat tawaran berlakon sejak kebelakangan ini dan berasa seolah-olah dipingirkan,” katanya yang turut ditemani dramatis Zuraini Kasim melawat pelakon itu.

Zulkifli berkata, pihak Seniman akan memantau keadaan kesihatan pelakon itu dan memberi bantuan sewajarnya jika keadaan memerlukan.

Sementara itu Wan Maimunah yang dihubungi mStar Online malam Ahad meminta maaf tidak dapat untuk ditemubual kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Minta maaf ya ‘anak’…  Kak Wan tak boleh nak bercakap, letih sangat ni. Nanti-nantilah ya. Minta maaf sangat ya,”  pintanya.

Dalam kerjaya seni, Wan Maimunah banyak berlakon dalam drama dan filem tempatan termasuklah berkebolehan membawakan watak komedi dan antagonis.

Dia pernah memenangi kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lima tahun berturut-turut dari 1992 sehingga 1996.

Pada tahun 2002, dia memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin menerusi drama  Rumah Di Tengah Sawah.

Wan Maimunah pernah gagal dalam beberapa perkahwinannya termasuklah dengan usahawan dari Johor iaitu Makpol Saimon, 57.

Mereka berkahwin pada 14 Disember 2013 di sebuah hotel di Johor Baru dan bercerai pada April 2015 tanpa berkongsi sebabnya.
Wan Maimunah

Artikel Lain