PETALING JAYA: Pelakon Haliza Misbun memberitahu dia tidak membenarkan orang yang lebih muda termasuk anak-anak saudaranya memanggil dirinya sebagai kakak atau aunty. Haliza, 43, berkata, perkara tersebut merupakan salah satu cara untuk dia berasa sentiasa muda dan memberi kesan positif terhadap dirinya. "Jangan panggil saya kakak, panggil saya nama sahaja, Liz (Haliza), anak-anak saudara saya yang kecil-kecil semuanya saya minta mereka panggil Liz sahaja. "Panggilan ini sebenarnya mempengaruhi kita punya psikologi dan ia benar-benar memberi kesan kepada diri saya untuk rasa positif dan sentiasa muda. Selain saya mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam," ujarnya kepada mStar Online. Imej terbaharu Haliza Misbun Haliza ditemui pada sidang media drama adaptasi Selamat Malam Tan Sri arahan Raja Mukhriz di sini, Selasa. Bagaimanapun, Haliza berkata, perkara itu bukan kerana dia seperti ‘tidak sedar diri’ atau tidak menerima peningkatan usia. Dalam perkembangan kerjaya, aktres itu berkata, selama dia menyepi dari bidang lakonan bukanlah disebabkan sudah tiada tawaran, sebaliknya dia kecewa dengan perkembangan industri. "Bukan sebab tiada tawaran tetapi saya sedih dengan perkembangan industri yang meletakkan wanita berusia 40 tahun ke atas dengan watak kakak dan emak. "Saya mahu mereka keluar daripada kepompong tersebut dan itu yang saya sedang perjuangkan sekarang. Lagi pula produksi sekarang banyak ragam. "Saya hanya akan terima tawaran daripada rakan-rakan yang saya kenal dan tahu kerja mereka," ujarnya. Dalam pada itu, ditanya tentang pasangan dan rumah tangga, Haliza berkata, dia tidak memikirkan soal itu sebagai sesuatu yang penting untuk tampil sempurna. Katanya, dia hanya akan berumah tangga jika mempunyai sebab yang kukuh dan bukan kerana desakan mana-mana pihak. "Ibu saya pun sudah malas untuk bertanya tentang kahwin kerana dia sendiri tahu jawapannya. Saya rasa diri saya sudah sempurna dan jika saya ingin berkahwin pun perlu ada sebab yang betul-betul kuat. "Saya tidak perlu ada pasangan untuk rasa sempurna dan bergantung harap. Tapi itu bukan bermakna saya seorang yang menentang ikatan perkahwinan. Ia hanyalah pendapat," ujarnya.