PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shila memberitahu sejak mengesahkan dirinya kembali solo setahun lalu, ada lelaki yang meluahkan hasrat untuk menjalinkan hubungan istimewa dengannya. Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 29, bagaimanapun berkata, dia terpaksa menolak secara baik hasrat itu kerana masih belum bersedia selain ingin menikmati sepenuhnya kehidupan solonya ketika ini. "Saya tidak nafikan lelaki yang nak dekat tu memang ada tetapi buat masa sekarang saya letak tepi dulu soal hati dan perasaan kerana belum puas menikmati kehidupan solo yang saya sifatkan begitu enjoy sebenarnya. "Di satu sisi, saya tidak suka memberi apa-apa harapan kepada orang kerana buat masa sekarang saya lebih selesa berkawan dulu. Soal cinta biarlah ia datang tanpa dirancang" ujarnya ketika ditemui mStar Online. Tasha mahu fokus lakonan. Sebelum ini Tasha pernah mengumumkan untuk berehat setahun daripada lapangan seni selepas putus cinta dengan bekas kekasihnya, Han Wong tahun lalu. Dalam pada itu, Tasha mengakui dia kini kembali dengan satu semangat baru sekembalinya ke dunia seni kerana ditawarkan satu watak penting menerusi sebuah teater epik arahan Dr Rosdeen Suboh berjudul Putera La Galigo. "Alhamdulillah, saya anggap ini satu tuah dan rezeki sekembali selepas menyepi diri saya selama setahun yang saya kira amat berbaloi dan tidak wajar dilepaskan. "Teater Putera La Galigo mengangkat kisah pemerintahan Sultan Selangor dan saya amat berbesar hati untuk terlibat dalam projek mega ini kerana kebetulan saya juga anak kelahiran negeri Selangor,” katanya. Memegang watak sebagai Puteri Perak, Tasha melihat watak ini memberi cabaran tersendiri buat dirinya kerana terpaksa menyanyi dalam emosi selain memerlukan dia mempelajari ilmu pertahanan diri seperti silat. "Ini merupakan teater kedua saya selepas teater Takhta 3 Ratu arahan Erma Fatima yang pernah di pentaskan di Panggung Sari Istana Budaya dua tahun lalu. "Istimewanya teater Putera La Galigo, selain merupakan teater terbesar pernah di pentaskan di negeri Selangor, ia juga sebuah teater epik (sejarah) yang akan melengkapkan lagi profil seni saya sebagai seorang pelakon berkaliber,” katanya. Teater Putera La Galigo terbitan Keno Production dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor ini akan di pentaskan di Stadium Malawati Shah Alam bermula 16 hingga 18 Disember depan. Ia turut menampilkan barisan pelakon popular antaranya Amar Asyraf, Tasha Shilla, Raja Azura, Wan Raja, Ainul Aishah dan Isa Khan. Tiket dijual pada harga RM35 dan RM200 boleh didapati di www.airasiaredtix.com atau menghubungi talian 03-87754666 dan 03-41019332