suria

Pesakit Mental Sembuh Dengar Lagu Anuar Zain

Anuar Zain ketika sidang media mengenai persembahannya iaitu 'Yonder Music Life Series By The Lake: Anuar & You' yang akan berlangsung pada 21 Januari depan di Panggung Anniversary Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mempercayai sesebuah lagu mampu menjadi terapi jiwa seandainya karya yang diketengahkan itu mempunyai kualiti dan nilai sentimentalnya sendiri.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 46, berkata, kakanya iaitu Ziana Zain pernah menceritakan seorang suami yang merupakan pesakit mental sembuh penyakit itu setelah mendengar lagu-lagunya yang berjaya memberi inspirasi buat dia.

“Tak tergambar perasaan saya apabila mendengar kisah itu di mana si isteri menyatakan suaminya yang pernah ditahan di wad pesakit mental beransur-ansur pulih setelah mendengar lagu-lagu dari sebuah album lama saya ketika berada di wad.

“Cerita itu benar-benar memberi inspirasi kepada saya sekali gus mengubah persepsi saya selama ini bahawa fungsi sesebuah lagu itu tidaklah sekadar satu hiburan untuk peminat malah terapi jiwa bergantung pada situasi dan keadaan,” katanya kepada mStar Online.


Anuar Zain ada resipi bagaimana menyanyikan lagu bernada tinggi. FOTO: Norafifi Ehsan
Anuar ditemui di majlis sidang media mengenai persembahannya iaitu Yonder Music Life Series By The Lake: Anuar & You di Le Meridien Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu ditanya tidakkah faktor usianya kini menyukarkan dia untuk menyanyikan lagu bernada tinggi, Anuar berkata dia mempunyai resipi tersendiri.

“Saya tidak nafikan setiap penyanyi yang meningkat naik usia akan melalui situasi ini di mana sukar untuk menyanyi pada nada-nada tinggi sepertimana di dalam album.

“Namun saya mempunyai resipi tersendiri sejak dulu iaitu saya mementingkan feel dan kepuasan ketika menyanyi dan tidak mengambil risiko untuk terus menyanyi pada nada-nada tinggi kalau tiada keyakinan,” katanya.

Anuar (kanan) bersama pihak dari Yonder Music.
Selain itu katanya, adalah penting untuk seseorang penyanyi itu terus menjaga hubungan baik dengan peminat kerana perkara itu menjadi antara faktor seseorang itu boleh bertahan lama.

Berkongsi mengenai persembahannya bersama Yonder Music kali ini, dia akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan seleksi lagu-lagu baru dan lama antaranya Ketulusan Hati, Sedetik Lebih dan Bila Resah.

"Saya sifatkan ia sebuah showcase mega kerana show-nya kurang dari dua jam di mana ia dianjurkan sebagai hadiah buat peminat selain sempena promosi album terbaru saya yang masih berjalan sekarang,” katanya.

Yonder Music Life Series By The Lake: Anuar & You akan berlangsung pada 21 Januari depan di Panggung Anniversary Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

Tiket-tiket dijual pada harga RM388 sehingga RM888 dan boleh didapati di www.ticketcharge.com.my yang akan mula bermula 9 Disember ini.
Anuar Zain

Artikel Lain