PETALING JAYA: Album terbaharu penyanyi Faizal Tahir iaitu Anatomi yang dilancarkan pada 4 November lalu telah dinobatkan sebagai salah satu nashkah terbaik sepanjang 2016 oleh Apple Music. Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh syarikat rakaman Warner Music Malaysia kepada mStar Online pada Rabu, pemilihan itu menjadikan Faizal sebagai artis Melayu pertama dipilih oleh Apple Music di kalangan ribuan album antarabangsa. "Ia satu penghormatan besar buat Faizal Tahir walaupun kulit album tersebut pernah menjadi kontroversi ketika ia dilancarkan baru-baru ini. "Adalah menjadi kebanggan buat Malaysia kerana album ini adalah album yang dihasilkan oleh seorang anak Melayu dan pertama mendapat pengiktirafan daripada Apple Music sebagai antara album terbaik 2016," kata kenyataan itu. Anatomi menampilkan tujuh lagu termasuk single Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan Setia. Tiga lagi lagu baru yang dimuatkan ialah Suriram, Menang dan Bukan Yang Pertama di samping Dirgahayu, Negaraku dan tiga versi Assalamualaikum iaitu versi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH2014), Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) dan akustik.