suria

Ika Nabella Tidak Trauma Selepas Insiden Dipukul Pengarah Drama

Ika Nabella akui rezeki lebih murah lepas berkahwin.

PETALING JAYA:  Pelakon Ika Nabella memberitahu dia tidak berasa trauma selepas melalui detik hitam insiden dikasari seorang pengarah drama pada tahun lalu, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga.

Justeru, Ika atau Ika Nabila Abdul Rahim, 27, berkata, dia akan meminta pelakon gandingannya yang akan melakonkan babak untuk mengasariya agar lebih berhati-hati supaya tidak berlaku apa-apa insiden tanpa niat.

"Saya ada terima tawaran memegang watak sebagai wanita yang dikasari dan menjadi mangsa. Cuma saya akan ingatkan pelakon gandingan saya agar lebih berhati-hati.

"Ia bukan kerana saya serik atau trauma kisah lalu tetapi sebagai langkah terbaik agar perkara lalu tidak berulang," ujarnya kepada mStar Online.

Ika berkahwin dengan Muhammad Zaid Aznam pada 30 Julai lalu.

Pada November tahun lalu, pengarah drama Azma Aizal Yusoof dikatakan memukul Ika di lokasi penggambaran drama Dawai Asmara  kerana berlaku salah faham dan perang mulut antara mereka namun pemuda itu mengakui kesalahannya.

Kes tersebut begaimanapun selesai dan Mahkamah Majistret Ampang memutuskan pengarah itu didapati bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM2,000.

SILA KLIK: Azma Aizal Buang Rasa Malu Selepas Kes Pukul Ika Nabella

Sementara itu, aktres yang baharu sahaja berumah tangga pada 30 Julai lalu mengakui menerima banyak tawaran berlakon drama selepas bergelar isteri.

Ika berkata, rezeki tersebut datang selepas dia mengambil keputusan berehat seketika daripada bidang lakonan selepas insiden tersebut selain membuat persiapan perkahwinan.

"Alhamdulillah, betul orang cakap tentang rezeki selepas berkahwin, walaupun saya berehat sekejap untuk buat persiapan dan insiden ditumbuk pengarah itu namun orang masing ingat.

"Rezeki lebih murah, tawaran datang tidak putus-putus. Boleh dikatakan sekarang saya buka hidup baharu," ujarnya.

Ika mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya Muhammad Zaid Aznam, 29 di Pulau Pinang.

Sementara itu, pelakon drama Awak Sangat Nakal ini memberitahu dia kini sedang melalui fasa bahagia sebagai seorang isteri.

"Kehidupan saya lebih terisi selepas berkahwin, saya tidak pernah menyangka perkahwinan mampu memberikan kita kebahagiaan sehebat ini.
Ika Nabella

Artikel Lain