suria

Mell (Sakura Band) Tidak Ambil Hati Disamakan Patung Seram Chucky

Imej vokalis kumpulan Sakura Band iaitu Mell ketika mengadakan persembahan di Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) disamakan dengan patung seram dari filem Chucky.

PETALING JAYA: Vokalis Sakura Band iaitu Mell tidak berkecil hati apabila gambarnya yang disamakan dengan watak patung dalam filem seram popular Chucky menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

Mell atau Melly Matius, 28, sebaliknya berkata, perkara itu sebenarnya memberikan promosi kepadanya dalam memperkenalkan kumpulan itu dengan lebih meluas.

"Saya pada awalnya terkejut juga apabila gambar saya menjadi viral dan imej saya disamakan pula dengan patung seram Chucky.

"Sedih memang sedih apabila baca komen netizen tetapi tidaklah sampai saya berkecil hati.

Sakura Band tampil membuat persembahan pada AIM22 yang berlangsung pada 18 Disember lalu.

"Saya fikir positif dan menganggap penyebaran gambar itu akan buat orang lebih kenal siapa saya dan Sakura Band," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Mell mengulas mengenai penyebaran imejnya ketika mengadakan persembahan di Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang berlangsung pada 18 Disember lalu yang disamakan dengan patung seram itu di laman sosial.

Netizen menyelar penyanyi lagu Polaroid itu yang tampil dengan rambut berwarna jingga selain tampil dengan pakaian menyerupai Chucky.

Dalam pada itu, Mell berkata, imej yang dibawa pada malam itu adalah khas untuk persembahan berkenaan yang menggambarkan perasaan gembira dan ceria.

Sakura Band kini sedang popular dengan lagu Polaroid.

Malah kata Mell, dia tidak berhasrat untuk mengekalkan rambut berwarna jingganya dan akan kembali kepada warna asal.

"Bila difikirkan lucu juga tetapi imej pada malam itu sebenarnya khusus untuk AIM22 dan tidak berhasrat untuk mengekalkan warna rambut saya sekarang.
 
Sementara itu, Mell berkata, dia bersama ahli kumpulan Sakura Band bersyukur apabila penerimaan peminat terhadap mereka semakin memberangsangkan selepas lagu Polaroid menjadi popular.

Contoh wajah patung seram Chucky.
Bagaimanapun kata Mell, mereka tidak boleh berasa selesa dengan perkara itu sebaliknya perlu meneruskan momentum sedia ada bagi mengukuhkan lagi nama mereka dalam peta industri muzik.

"Kami bermula dari kosong dan walaupun masih belum ramai yang mengenali kami tetapi syukur lagu-lagu nyanyian Sakura Band diterima baik.

"Peluang ini kami akan ambil untuk terus menambat hati peminat dengan karya-karya lebih baik pada masa hadapan," ujarnya.

Tambah Mell lagi, Sakura Band akan tampil dengan single terbaharu tidak lama lagi sebagai kesinambungan kepada kejayaan Polaroid.

Menariknya kata penyanyi kelahiran Sabah ini, mereka akan tampil dengan konsep dan imej berbeza bagi memberikan kelainan kepada peminat.
Sakura Band, Chucky, Mell

Artikel Sebelum

Artikel Lain