suria

Oja and Tunable Band Pertaruh Cukup Sekali

Oja and Tunable Band

KUALA LUMPUR: Hampir 20 tahun menyepi, penyanyi Oja muncul dengan kumpulan baharu Oja and Tunable Band dengan mempertaruhkan album berjudul Cukup Sekali.

Oja atau nama sebenarnya Daninas Huza Daud berkata, lagu berjudul Cukup Sekali dipilih daripada 10 buah lagu dalam album berkenaan berikutan melodi dan liriknya lebih mudah untuk diingati. 

Cukup Sekali dipilih sebagai single kami kerana melodi dan liriknya yang lebih mudah diingati pendengar, sesiapa yang dengar pasti boleh menyanyikannya semula.

“Agak sukar bagi kami memilih lagu-lagu yang ada di dalam senarai rakaman, namun Cukup Sekali dilihat paling sesuai untuk dijadikan single band ini," ujarnya menerusi satu kenyataan kepada mStar Online.

Oja and Tunable Band dianggotai oleh Norule, Oja (vokalis), Botak (bes) dan dua lagi bekas anggota kumpulan Spoon iaitu Boy (gitar) dan Shahnaz (drum).

Sementara itu, Oja berkata, projek yang bermula daripada perjumaan semula ahli kumpulan Spoon membawa satu nafas baru dalam seni muzik dalam mengetengahkan idea-idea lagu yang berkonsepkan balada dan slow rock serta susunan orkestra yang dinamik.

Album ini mengambil masa lebih kurang setahun dan direkod sepenuhnya di Tunable Record Sdn. Bhd.

Dalam pada itu gitaris, Norule atau nama sebenarnya Norul Fikri Abdul Samad berkata, pada awalnya memang lagu ini dicipta untuk kumpulan asalnya iaitu Spoon, namun disebabkan beberapa masalah, lagu ini diberi kepada Oja and Tunable Band.

“Sewaktu lagu Cukup Sekali dicipta, antara saya dan Spoon mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan, masa saya bersama kumpulan tersebut juga agak terhad pada waktu itu,” katanya.

Selain lagu Cukup Sekali,  lagu Sayang Mengundang turut dipilih menjadi lagu runut filem (OST) Aku Bukan Spy, filem kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia yang akan ditayangkan Januari depan.


Artikel Lain