BUKIT JALIL: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin memberitahu tahun 2016 merupakan tahun dia berada di kemuncak kerjayanya sebagai deejay yang dikenali. DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid, 40, berkata, penat lelah dan usaha mengendalikan segmen Suria Cinta selama 10 tahun membuahkan hasil apabila kini baharu merasai populariti sebagai seorang selebriti. "Alhamdulillah, sepanjang 2016 merupakan tahun terbaik dalam hidup saya apabila menempa banyak kejayaan dan usaha saya selama 10 tahun mengangkat Suria Cinta menampakkan hasil. "Boleh saya katakan kemenangan terbesar sebagai Penyampai Radio Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-29 lalu memberi impak besar. DJ Lin bersama peminat dan rakan artis bagi menyambut ulangtahun ke-10 segmen Suria Cinta. "Baharu sekarang rasa diri ini sebagai seorang selebriti dikenali dan orang mula menegur saya ketika berada di khalayak," ujarnya kepada mStar Online. DJ Lin ditemui pada majlis sambutan hari jadinya dan ulang tahun ke-10 Suria Cinta yang diadakan di sini, Sabtu. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Syamel, Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan Hazami. Dalam pada itu, DJ Lin berkata, perjalanan untuk berada pada tahapnya sekarang bukan semudah disangkakan. Sebaliknya dia melalui perjalanan berliku selain perlu melakukan pelbagai kerja semata-mata untuk mengangkat nama radio itu yang ketika itu masih baharu beroperasi. DJ Lin melalui banyak cabaran sebelum mencapai tahap sekarang. "Ia bukan mudah, ada ke penyampai radio sedia ada sanggup melakukan perkara yang pernah saya lalui dahulu?. "Saya buat tiga kerja dengan satu gaji, ketika itu awal pembukaan Suria FM, sayalah Pegawai Perhubungan Awam, saya juga jadi pengurus artis dan pada waktu malam saya jadi penyampai Suria Cinta," ujarnya. Tambah DJ Lin, dia tidak pernah merungut dan membantah arahan pihak pengurusannya kerana ingin memastikan radio berkenaan berada sebaris dengan radio swasta lain. Bagaimanapun, DJ Lin mengakui, populariti dikecapi sekarang turut memberi banyak dugaan terhadap dirinya. Sokongan peminat terhadap DJ Lin tidak berbelah bahagi. DJ Lin berkata, pada tahap ini dia dapat melihat sejauh mana kejujuran seorang rakan yang benar-benar ikhlas untuk berkawan dengannya. "Banyak dugaan lain saya terima pada tahap ini, selalu orang diuji ketika berada di bawah tetapi saya pula dapat melihat mana rakan yang benar-benar ikhlas dan mana kawan yang cemburu dengan kejayaan saya sekarang. "Saya bersyukur menyedari perkara tersebut dan cuba menjauhkan diri dengan mereka yang saya rasa tidak ikhlas dan mempunyai niat tidak baik untuk menjatuhkan kerjaya saya," ujarnya. Bercerita tentang Suria Cinta, DJ Lin berkata, dia akan tampil dengan segmen baharu iaitu Apa Itu Cinta yang bakal mengundang selebriti terkenal tanah air bagi berkongsi pengalaman.