PETALING JAYA: Penyanyi Aiman Tino mengakui pernah melakukan eksperimen yang disifatkannya sebagai 'kerja gila' semata-mata untuk mengukur popularitinya sejak melancarkan lagu Ku Rela Dibenci yang menjadi fenomena. Aiman atau Aiman Yusri Ishak, 19, berkata, dia bertindak keluar seorang diri di sebuah pusat beli-belah namun perbuatannya itu menjerat diri apabila diserbu peminat. "Saya melakukan eksperimen itu sebenarnya untuk membuat tinjauan sama ada saya dikenali atau pun tidak dan memang tidak sangka dikerumuni peminat. "Ia berlaku pada akhir Ogos lalu semasa Ku Rela Dibenci sudah pun dilancarkan dan mula menjadi perhatian pendengar. Aiman tampil dengan single terbaharu iaitu Permata Cinta. "Bagaimanapun saya tetap gembira ketika itu dapat melayani peminat walaupun agak kepenatan," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Aiman berkata, insiden tersebut sebenarnya memberi kenangan manis kepadanya yang ketika itu baharu sahaja hendak bertapak dalam bidang seni. "Setidak-tidaknya pengalaman itu memberi peringatan kepada saya bahawa sudah sampai masanya saya keluar ditemani rakan atau pun keluarga ketika berada di tempat awam. "Bukan hendak perasan bagus sudah popular tetapi untuk mengelak agar tidak berlaku perkara diluar jangkaan," katanya. Sementara itu, Aiman berkata, dia kini sibuk mempromosikan single terbaharunya iaitu Permata Cinta dan bersyukur kerana lagu berkenaan mula mendapat tempat dihati pendengar. Selain itu, dia juga sedang dalam proses menerbitkan album sulungnya yang menggunakan khidmat bapanya sebagai komposer dan penerbit. "Buat masa sekarang saya sudah ada lima buah lagu yang akan dikeluarkan secara single terlebih dahulu sebelum dikumpulkan menjadi sebuah album. "Kesemua lagu itu masih mendapat sentuhan bapa saya sendiri dan kenalannya dan proses rakaman sudah pun bermul mulai bulan ini," katanya. Tambah menarik kata Aiman, dia juga bakal tampil dengan sebuah lagu duet bersama Sufian Suhaimi sebagai memenuhi permintaan peminat yang ingin mereka bergandingan menerusi sebuah lagu.