suria

Sufian Suhaimi Jarang Keluar Rumah Elak Kontroversi

Sufian Suhaimi elak kontroversi.

PETALING JAYA: Penyanyi Sufian Suhaimi memberitahu kehidupannya yang mementingkan privasi sedikit sebanyak mengelakkan namanya terpalit dengan sebarang kontroversi sejak bergelar artis.

Sufian, 24, berkata, dia lebih gemar menghabiskan masa di rumah jika tidak mempunyai sebarang persembahan atau aktiviti seni.

"Alhamdulillah buat masa ini memang saya menjaga privasi, jika tiada sebarang aktiviti saya lebih suka duduk rumah sahaja daripada keluar dan buat perkara yang tidak sepatutnya.

"Saya lebih banyak habiskan masa di rumah sahaja dan cari idea untuk buat lagu," ujarnya kepada mStar Online.

Sufian ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 Suria Cinta, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Sufian berkata, dia tetap berwaspada dan bersedia berhadapan dengan gosip yang dianggap sebagai rencah kehidupan seorang selebriti.

Sementara itu, bercerita tentang perkembangan kerjayanya, Sufian kini muncul dengan single keduanya berjudul Harus Aku yang merupakan lagu permintaan peminat-peminatnya.

Katanya, lagu Harus Aku bukan lagu yang dirancang untuk menjadi single kedua selepas lagu Terakhir.

"Saya sudah lancar single kedua berjudul Harus Aku, lagu ini sebenarnya sudah lama berada di YouTube seperti lagu Terakhir.

"Selepas lagu Terakhir hit, ramai peminat saya yang mahu dengan lagu Harus Aku pula di radio, jadi saya rakam semula dan lancarkan sahaja.

"Sepatutnya saya sudah ada single lain untuk dikeluarkan, Insya-Allah, lepas lagu Harus Aku perlahan barulah saya keluarkan single ketiga yang berjudul Terasa Ada," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang idea untuk menulis dan mencipta lagu, penyanyi ini berkata, dia mengambil ilham daripada pengalaman orang disekelilingnya.

Katanya, dia juga akan memastikan setiap lagu yang dihasilkan mempunyai kaitan dengan jalan hidup orang lain.

"Lagu-lagu saya adalah berkaitan dengan kehidupan orang disekeliling dan bukan pengalaman peribadi.

"Saya juga mahu setiap lagu yang saya hasilkan mempunyai kaitan dengan perjalanan atau pengalaman hidup orang lain supaya ia boleh mudah diterima," ujarnya.

Sufian Suhaimi

Artikel Lain