suria

Mia Ahmad Sekadar Terima Tajaan Pelamin

Mia Ahmad akui terima dugaan menjelang majlis perkahwinannya dengan penjaga gol JDT Mohd Izham Tarmizi Roslan.

PETALING JAYA: Pelakon Mia Ahmad semakin sibuk membuat persiapan terakhir untuk majlis pernikahannya dengan penjaga gol JDT iaitu Mohd Izham Tarmizi Roslan yang bakal berlangsung pada 13 Januari ini.

Mia atau Shamiha Ahmad Baderi, 29, berkata, dia berasa semakin risau dan berdebar apabila tarikh bahagia itu hanya tinggal seminggu sahaja lagi.

"Saya sudah bercuti dari sebarang aktiviti seni dan sekarang sibuk dengan persiapan terakhir untuk majlis pernikahan minggu depan.

"Perasaan sudah tentu risau dan berdebar juga, nasib baik persiapan majlis saya dibantu oleh keluarga dan perunding perkahwinan," ujarnya kepada mStar Online.

Mia akan diijabkabulkan dalam sebuah majlis akad nikah yang bakal berlangsung di Villa Sentosa, Taiping Perak, pagi Jumaat.

Majlis persandingan di sebelah petang pula bertemakan tradisional kontemporori dan ia akan disiarkan secara langsung menerusi live streaming di saluran tonton.


Mia Ahmad dan bakal suami Izham Tarmizi.

Dalam pada itu, ditanya tentang tajaan, Mia berkata, dia hanya mengambil penajaan untuk busana pengantin, pelamin dan beberapa perkara kecil sahaja.

Selebihnya, kos perbelanjaan perkahwinannya itu menggunakan wang sendiri sahaja.

"Saya ada terima tajaan untuk baju dan pelamin serta beberapa perkara kecil sahaja, selebihnya saya pakai duit sendiri.

"Kalau boleh perkahwinan saya mengikut cita rasa saya dan saya sendiri lebih selesa dan puas jika menggunakan duit sendiri untuk majlis istimewa ini," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang dugaan menjelang hari bahagia itu, Mia berkata, ia merupakan perkara biasa yang dialami setiap bakal pengantin.

"Dugaan-dugaan itu ada la juga yang saya hadapi. Tapi Alhamdulillah, perkara yang diuji itu hanya kecil-kecil sahaja bukannya major problem," ujarnya.

Sementara itu, Mia berkata, dia dan bakal suami masih belum memikirkan lokasi berbulan madu.

Katanya, dia mahu kedua-dua majlis yang dirancang itu selesai terlebih dahulu sebelum merancang untuk berbulan madu.

Selain itu, Mia berkata dia bakal menganjurkan majlis resepsi sebelah lelaki pada bulan Mac 2017 di Terengganu.
Mia Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain