suria

Syamel Enggan Lagi Dibayangi Kontroversi lalu

Syamel ingin lupakan kisah kontroversi dan memfokuskan kepada karier nyanyiannya pada 2017.
PETALING JAYA: Penyanyi Syamel ingin melupakan kontroversi berhubung isu hak cipta lagu Hidup Dalam Mati yang menjadi kecoh tahun lalu.

Syamel atau Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 24, sebaliknya berkata, kedatangan 2017 adalah peluang untuknya terus mara ke hadapan selain membuktikan kemampuannya tanpa dibayangi kontroversi tersebut.

"Saya sebenarnya sudah tutup kisah kontroversi itu dan mula pandang ke hadapan untuk menjadi seorang anak seni lebih produktif pada tahun ini.

"Selain semakin bergiat aktif dalam lapangan penciptaan lagu, saya sasarkan tahun ini saya berpeluang menyanyikan lagu-lagu untuk runut bunyi drama atau filem.

Syamel kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya.
"Malah saya turut pasang impian untuk tampil di atas pentas muzikal sekiranya diberikan peluang," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Syamel berkata, walaupun Hidup Dalam Mati terpalit dengan kontroversi namun dia tetap melihat lagu itu banyak memberi jasa kepadanya.

Kata Syamel, jika bukan kerana kejayaan lagu berkenaan dia mungkin tidak berada di tahapnya sekarang.

"Di mana saya buat persembahan peminat tetap mahukan lagu tersebut dinyanyikan dan saya harus akui biarpun melalui pelbagai kisah kontroversi, lagu ini banyak jasanya kepada saya.

"Paling penting, kontroversi tersebut menjadikan saya seorang yang lebih matang dan positif dalam banyak perkara," katanya.

Dalam perkembangan lain, naib juara Akedemi Fantasia 2015 (AF2015) ini turut berazam untuk mendapatkan berat badan yang lebih ideal pada tahun ini dalam usaha membentuk penampilan lebih yakin dan menarik.

"Nak bercakap soal berat badan memang tak pernah habis sebab saya ni jenis yang mudah naik dan mudah turun bergantung pada kekerapan makan dan senaman yang dibuat.

"Sebenarnya saya masih belum berpuas hati dengan berat badan sekarang dan sedang giat melakukan rutin senaman seperti berjoging sekiranya ada waktu terluang," katanya.

Bercakap tentang kerjaya, Syamel berkata, dia kini dalam rangka mempromosikan single terbarunya Lebih Sempurna selain bakal berkolaborasi dengan penyanyi Ernie Zakri untuk sebuah lagu duet.

"Ernie Zakri merupakan pasangan duet saya menerusi program Duo Star terbitan Astro Ria dan apa yang menarik tentang lagu duet kami nanti, itu kena tunggu", ujarnya teruja.

Mengulas tentang lapangan penciptaan lagu, Syamel menjelaskan keselesaannya adalah pada lagu-lagu berentak balada.

"Kalau boleh saya mahu dikenali peminat dengan lagu-lagu berentak balada kerana di situ terletak jiwa saya.

"Pun begitu, saya tetap akan ambil cabaran pada lagu-lagu pop dan selainnya dalam usaha mencari sisi versatil saya sebagai seorang penyanyi dan penghibur," katanya.
Syamel, Hidup Dalam Mati, Duo Star

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain