suria

Segmen Penghormatan AJL31 Kenang Jasa Penulis Lirik

Penyanyi Awi Rafael dan Elizabeth Tan muncul pada acara persembahan pentas bersempena promosi AJL31 di pusat beli-belah Berjaya Times Square pada Sabtu. Foto THE STAR/YAP CHEE HONG

KUALA LUMPUR: Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 bakal menampilkan pengisian yang berbeza buat julung kalinya menerusi segmen penghormatan buat para penulis lirik yang berjasa dan berpengaruh dalam muzik tanah air.

Penerbit Eksekutif AJL31, Nurhul Huda Khalid berkata, kelainan itu dipilih sebagai penghargaan terhadap para karyawan itu khususnya Allahyarham Loloq dan Allahyarham Mama Juwie terhadap sumbangan dan impak penulisan lirik mereka pada pelbagai lagu tempatan.

"Segmen tribute untuk kedua-dua penulis lirik itu dan ramai lagi adalah nadi pengisian pada AJL31 yang pertama kali kami lakukan.

Kenangan...Allahyarham Loloq (kiri) ketika menerima hadiah kemenangan Anugerah Juara Lagu ke-14 pada tahun 1999 menerusi lagu Andalusia nyanyian Datuk M. Nasir.

"Ia adalah tanda terima kasih daripada pihak penganjur terhadap sumbangan karyawan-karyawan lirik ini yang menghasilkan begitu banyak lirik yang bagus dan memberikan impak.

"Kelainan itu akan dipaparkan pada segmen pembukaan dan interlud. Namun, butiran terperincinya biarlah menjadi kejutan pada malam AJL31 nanti," katanya kepada mStar Online.

Nurhul Huda ditemui pada acara persembahan pentas bersempena promosi AJL31 di pusat beli-belah Berjaya Times Square di sini, petang Sabtu.

Penonton yang membanjiri Berjaya Times Square untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka.

Pada acara selama empat jam yang menghimpunkan kira-kira 10,000 penonton itu, beberapa finalis seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi, kumpulan Khalifah, Elizabeth Tan dan Awi Rafael mendendangkan lagu-lagu mereka yang akan bersaing pada malam AJL31 kelak.

AJL31 yang bertemakan Cerita Dalam Lagu akan diadakan pada 22 Januari ini jam 9 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Mengulas lanjut, Nurhul Huda berkata, selain itu beberapa kandungan istimewa juga bakal diselitkan bagi menambahbaik persembahan AJL31 berbanding penganjuran lepas.

Aiman Tino.

Katanya, tema Cerita Dalam Lagu pada AJL31 juga bakal menonjolkan pengisian berbeza pada persembahan para peserta yang bertanding nanti.

"Tema pada tahun ini akan memaparkan persembahan para finalis yang bukan saja bercerita menerusi sketsa atau lakonan malah juha melalui penggunaan teknologi papan Dior Pemancar Cahaya (LED).

"Persembahan pada AJL kali ini mungkin kurang daripada segi penggunaan peralatan pentas yang banyak oleh para finalis disebabkan faktor ekonomi semasa tapi tetap dijamin menarik kerana teknologi LED," katanya.

Sufian Suhaimi.

AJL31 bakal mempertaruhkan Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah, Terakhir (Sufian Suhaimi), Sudah Ku Tahu (Projektor Band), Selamanya Cinta (Alif Satar & Shila Amzah), Terimaku Seadanya (Misha Omar & Hafiz Suip), Ku Rela Dibenci (Aiman Tino) dan Di Amaran Mama (Hazama & The Penglipur Lara).

Turut bertanding adalah Obses (Akim & The Majistret), Setia (Elizabeth Tan & Awi Rafael), Kalah Dalam Menang (Syamsul Yusof & Mawi), Hang Pi Mana (Khalifah) dan Anugerah Terindah (Black).

Artikel Lain