suria

“Skirt Pendek Itu Bukan Untuk Janna Nick” – Pereka Fesyen

Janna dakwa baju terlalu seksi tidak sesuai imej.

PETALING JAYA: Pereka fesyen iaitu Khairul Amri Hassan berkata skirt pendek yang dikatakan terlalu seksi bukanlah untuk Janna Nick seperti yang didakwa pelakon itu.

Sebaliknya Khairul, 28, berkata, pakaian itu merupakan pilihan untuk artis lain yang turut terlibat dalam sesi fotografi sebuah akhbar bersama Janna Nick.

"Saya kesal kerana kenyataan dia menuduh baju yang saya sediakan terlalu seksi. Ia tidak benar sama sekali kerana saya menyediakan lebih lima pilihan baju untuk dia.

“Saya akui ada skirt pendek tapi ia bukan untuk dipakai olehnya, saya bawa skirt itu sekadar pilihan kerana ketika itu bukan dia seorang sahaja yang terlibat dalam sesi fotografi.

“Baju yang disediakan untuknya adalah jaket bersaiz besar, oversize jumper dan tiga helai gaun paras bawah lutut," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Khairul diminta mengulas kenyataan pelakon Janna Nick yang mendakwa diberikan baju-baju yang kurang sesuai dan terlalu seksi untuk penampilannya pada sesi fotografi sebuah akhbar.

Pereka fesyen itu turut menganggap dakwaan itu sebagai tuduhan yang tidak berasas.

Katanya, pelakon itu menolak lima helai baju yang disediakan untuk sesi tersebut dengan pelbagai alasan tidak munasabah. 

Khairul Amri Hassan

Tambah Khairul semasa kejadian itu, Janna  mengambil keputusan untuk memakai bajunya sendiri dengan menganggap pakaian yang disediakan untuk fotografi itu terlalu besar.

Katanya, pelakon Kau Aku Kita itu juga memberi alasan gaya baju besar yang disediakan untuknya itu pernah dilakukan untuk sesi fotografi sebuah akhbar lain.

"Saya datang ke sesi fotografi itu seperti sia-sia. Penat untuk saya terangkan kepadanya mengenai konsep pakaian seperti yang diminta oleh pihak wartawan tapi ditolak.

"Dia akhirnya memakai baju sendiri, jadi saya bungkuslah semua baju-baju tersebut dan bawa pulang sahaja tanpa menunggu fotografi selesai," ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik butik Dokoh ini juga berkata, ia bukanlah kali pertama baju rekaannya ditolak untuk dipakai pelakon tersebut.

Bagaimanapun dia sentiasa bersikap positif dan memberi peluang untuk berkerjasama dengan pelakon wanita itu.

“Dua tahun lalu ketika namanya belum dikenali lagi saya pernah membuat baju baru untuk dipakai, itu juga permintaan daripada rakan wartawan yang mahu baju saya.

"Tapi wartawan tersebut memberitahu pelakon itu tidak mahu pakai kerana seksi, jadi peluang untuk bekerjasama kali kedua ini saya buat sebaik mungkin dan menyediakan baju-baju yang lebih besar. Tidak sangka pula ada alasan lain yang diberikan," ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada dia akan membuka peluang untuk bekerjasama dengan artis berkenaan selepas ini, Khairul berkata, dia perlu menjernihkan hubungan dengan pelakon itu terlebih dahulu.

"Saya tidak mahu bergaduh dengan Janna dan kalau boleh memang ingin berbaik, namun saya tak mungkin akan bekerjasama dengan dia kerana saya percaya sentuhan saya tidak sesuai dengan cita rasanya," ujar Khairul.

Janna Nick

Artikel Lain