KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Elfira Loy berkata, dia dan keluarga menjadi kelam-kabut selepas keluarnya laporan dia bersedia menerima pinangan mana-mana lelaki. Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 22, berkata, mereka 'dihujani' lamaran daripada ramai lelaki dan pelbagai pertanyaan mengenai kesahihan hal itu. "Benda (laporan) itu memang mengejutkan bagi saya untuk permulaan tahun baru ini. Bayangkan saya dan mama (ibu) 'dihujani' macam-macam soalan tentang kononnya saya bersedia menerima pinangan daripada mana-mana lelaki. "Pening kepala saya dan keluarga menangani isu ini sejak ia dilaporkan media minggu lalu," katanya kepada mStar Online. Liputan yang meluas mengenai pendedahan Elfira minggu lalu kononnya sudah bersedia menerima lamaran dan pinangan mana-mana lelaki menyebabkan pelakon itu menjadi tertekan. Elfira Loy. Katanya, ia bukan saja mencetuskan salah faham malah meninggalkan impak yang kurang manis kepadanya seolah-olah dia terdesak untuk mencari pasangan sehingga membuat pengumuman sedemikian. "Mama saya bising sebab saya cakap benda-benda begitu kepada umum. "Apa yang saya maksudkan sebenarnya adalah saya tak mahu 'bercinta kosong' dan 'couple' sehingga membuang masa tapi biarlah bertunang terus kalau sudah jumpa seseorang yang saya serasi," katanya yang baru selesai mengacarakan program travelog terbaharu, #RinduKampung untuk RTM. Justeru dia berharap penjelasan yang diberikan ini dapat meleraikan kekeliruan yang timbul akibat salah faham itu. "Mungkin bagi sesetengah orang ia adalah isu remeh dan perkara yang biasa tapi tidak bagi saya. "Saya bimbang kalau ia mencetuskan salah tanggapan yang berlanjutan. Harap selepas ini isu ini selesai," katanya yang melancarkan jenama fesyen El by Elfira Loy, baru-baru ini.