PETALING JAYA: Pelakon era 1990-an iaitu Edika Yusof berkata hasrat untuk kembali aktif ke bidang lakonan terpaksa dilupakan berikutan tanggungjawab yang besar terhadap keluarganya. Edika, 50, berkata, keadaan isterinya Nuhidayah Yusri, 38, yang mengalami lumpuh separuh badan sejak 13 tahun lalu memerlukan dia memberi perhatian sepenuhnya. "Saya memang rindu dan ada perasaan untuk kembali berlakon tetapi ia hanya impian sahaja dan realitinya saya tiada masa untuk meneruskan kerjaya itu. Edika Yusof. "Saya ada tanggungjawab terhadap keluarga, isteri saya lumpuh separuh badan sejak 13 tahun lalu perlu perhatian sepenuhnya. "Anak-anak pula sedang membesar dan sibuk dengan persekolahan," ujarnya kepada mStar Online. Edika ditemui pada majlis pelancaran filem Permata Hati yang boleh dilanggan secara eksklusif di Astro First bermula 26 Januari ini. Tambah Edika, Permata Hati merupakan filem yang dilakonkan selepas 20 tahun berehat daripada industri hiburan tanah air. Katanya, pengarah dan penerbit filem itu iaitu Datuk Seri Shah Rezza, memberi keistimewaan dengan membuat penggambaran mengikut masa kelapangannya. "Saya bekerja di rumah kerana perlu uruskan isteri dan anak-anak, jadi selepas Shah Rezza beri tawaran saya teragak-agak untuk terima kerana takut menyusahkan dia. "Tapi dia memberi sokongan dan mengikut masa saya untuk penggambaran berkenaan," ujarnya. Hasil perkahwinannya dengan Norhidayah sejak 13 tahun lalu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 12, dan Fareena Nurulhaq, 13 serta Nazirul Afiq yang berusia 18 tahun iaitu anak hasil perkahwinan terdahulu isterinya. Sementara itu, bercerita tentang pengalamannya, Edika berkata, dia agak kekok ketika kembali semula ke lokasi penggambaran dan kurang keyakinan. "Mula-mula masuk semula set saya rasa tidak yakin kerana sudah lama tidak berlakon. Tapi nasib baik juga berlakon dengan rakan-rakan yang sudah biasa. "Tapi Alhamdulillah, bila sudah habis rasa rindu pula untuk kembali ke set penggambaran," ujarnya.