PETALING JAYA: Pelakon Ruhainies bersyukur apabila dia berpeluang untuk berkunjung ke tanah suci Mekah bagi mengerjakan ibadat umrah bersama ibu bapanya. Menurut Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Ferehah Zainul Ilyas, 25, dia akan bertolak ke Mekah pada Jumaat ini. "Saya akan bertolak lebih awal bersama syarikat produksi Zeel Production Sdn Bhd untuk menjalani pengambaran selama tiga atau empat hari. Ruhainies teruja dapat ke Mekah bersama keluarga. "Selebihnya saya akan memberi tumpuan untuk beribadat bersama keluarga selepas mereka tiba di sana," katanya kepada mStar Online. Dia ditemui pada Majlis Tayangan Telefilem DFKL 2017 di MM Cineplexes, Damansara di sini pada Rabu. Menurut Ruhainies, doanya untuk mengerjakan umrah bersama keluarga akhirnya termakbul walaupun padat dengan jadual kerja. "Alhamdulillah akhirnya niat saya nak bawa mereka ke sana bakal tercapai," katanya sambil menambah bahawa kakaknya iaitu pelakon Risteena Munim akan berangkat bersamanya. Ditanya mengenai perasaannya yang pertama kali untuk ke tanah suci, Ruhainies berkata dia berasa gementar namun mengharapkan agar semuanya berjalan dengan baik. Selain itu ketika diminta mengulas mengenai persepsi negatif masyarakat terhadap golongan artis yang mengerjakan umrah terutamanya membabitkan isu pakaian, Ruhainies berkata dia akan berhati-hati dalam isu berkenaan. "InsyaAllah saya akan patuhi semua adab yang dituntut ketika berada di sana. "Tapi selebihnya saya tak boleh nak hiraukan semua pandangan orang. Yang penting hati dan niat saya untuk sana," katanya.