PETALING JAYA: Pelakon Mia Ahmad kini memilih untuk menetap di Johor Baru bersama suami walaupun terpaksa berjauhan dengan dunia hiburan di Kuala Lumpur. Menurut Mia atau Shamiha Ahmad Baderi, 29, dia semakin selesa untuk menyesuaikan diri di lokasi baharu selepas genap dua minggu mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Mohd Izham Tarmizi Roslan. "Alhamdulillah saya kini sudah menetap di Johor Baru dan bahagia menjalani kehidupan sebagai suri rumah. "Sejujurnya saya rasa lebih bahagia apabila dapat berada di sisi suami...ini tanggungjawab baharu saya selepas bergelar isteri," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis. Mia dan Mohd Izham, 26, mendirikan rumah tangga pada 13 Januari lalu di Taiping, Perak. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 13 Januari lalu. Bagaimanapun menurut Mia, Mohd Izham tidak menghalang dia meneruskan kariernya dalam bidang lakonan walaupun terpaksa berulang-alik ke Kuala Lumpur. "Izham dah bagi green light sebab dia sendiri pun sibuk dengan latihan dan perlawanan. Jadi dia tak mahu saya kesunyian di rumah tanpa buat apa-apa. "Tapi saya harus berbincang dengan suami sebelum menerima apa-apa tawaran berlakon kerana sudah pasti saya harus terikat dengan lokasi pengambaran untuk tempoh masa tertentu," katanya. Namun menurut Mia dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon buat sementara waktu kerana inai di jarinya masih merah. "Sudah dua tiga tawaran terpaksa ditolak, macam mana nak berlakon kalau inai masih merah terutama kalau watak heroin tengah bercinta," katanya penuh ceria. Mengulas mengenai pengalamannya selepas dua minggu mendirikan rumah tangga, Mia berkata dia sedang melalui fasa percintaan selepas kahwin. "Kami bercinta tak lama sebelum kahwin, jadi inilah masanya untuk saling mengenali antara satu sama lain. "Seronok juga bila hari-hari kena masak untuk suami dan saya bersyukur Izham tidak cerewet bab makanan," katanya. Ditanya sama ada mereka merancang untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, Mia berkata dia dan suami menyerahkan kepada takdir. "Kami tak merancang apa-apa. Tapi buat masa ini biarlah kami bercinta dahulu, kalau ada rezeki nanti adalah," katanya.