PETALING JAYA: Penyanyi Asmidar memberitahu dia kini sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia dalam usaha mengembangkan karier seninya di negara itu. Asmidar atau Norhasmidar Ahmad, 31, berkata, walaupun gagal menjuarai program D'Academy Asia 2 yang berlangsung baru-baru ini namun dia bersyukur kerana mula mendapat perhatian daripada peminat di negara itu. "Alhamdulillah rezeki di Indonesia mula bertambah sejak saya menyertai D'Academy Asia 2 dan kini sering berulang-alik ke sana untuk memenuhi undangan nyanyian. "Saya pun tak sangka dapat penerimaan yang baik dikalangan peminat di sana walaupun sekadar menempatkan diri 12 terbaik sahaja pada pertandingan itu. "Walaupun terpaksa berulang-alik tetapi tidak mengapa kerana ini adalah rezeki yang tak patut saya sia-siakan," katanya kepada mStar Online. Selain Asmidar, antara peserta lain dari Malaysia yang turut menyertai program berkenaan adalah Zizi Kirana, Syura Badron, Elda Susanti dan Jiwa Firdaus. Peserta dari Indonesia iaitu Weni dipilih sebagai juara pada pertandingan akhir yang diadakan pada 30 Disember tahun lalu. Dalam pada itu, Asmidar berkata, selain memenuhi undangan persembahan dia juga sedang mengintai peluang lain dalam memperkukuhkan lagi namanya di negara itu walaupun sedar ia bukan kerja mudah. Namun kata Asmidar, dia yakin dengan perancangan yang betul usahanya nanti pasti akan membuahkan hasil asalkan dia tidak mudah berputus asa dan bekerja keras. "Persaingan memang sengit di sana tetapi berbekalkan sedikit perhatian yang saya dapat dari D'Academy Asia 2 Insya-Allah ia memberi sedikit jalan kepada saya. "Paling penting sekarang adalah perancangan yang betul selain saya perlu bekerja keras. "Kesempatan mengadakan persembahan di sana, saya turut ambil kesempatan untuk menambah kenalan selain bertemu dengan pihak yang berminat untuk menjalinkan kerjasama," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Asmidar berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan single terbaharunya yang dijangka dilancarkan pada Mac depan dan berharap ia turut dipasarkan di Indonesia.