PETALING JAYA: Pelawak Amir (Raja Lawak) tidak berasa tertekan apabila perkahwinannya dengan Nur Intan Syafinaz Shaari masih belum dikurniakan cahaya mata dan bersabar dengan ujian itu. Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 29, berkata, walaupun sering ditanya mengenai hal sedemikian namun dia sentiasa tenang kerana rezeki mereka untuk menimang cahaya mata belum tiba. "Kalau diikutkan memang saya mahu timang anak tetapi Allah belum beri rezeki lagi jadi saya letakkan perkara itu kepada rezeki. "Seronok juga kalau ada anak di rumah tetapi saya tidak berasa tertekan apabila ditanya soal itu kerana saya anggap pertanyaan itu perkara biasa," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis. Amir dan Intan, 23, berkahwin pada 14 Mac 2015. Dalam pada itu, Amir berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai kekurangan sebaliknya menganggap ia mempunyai hikmah tersendiri apabila belum diberi rezeki anak. Amir dan isteri menyerahkan soal anak kepada rezeki. Ini kerana kata Amir, dia dapat memberikan tumpuan kepada isterinya malah menyifatkan hubungan mereka masih dalam peringkat 'berbulan madu'. "Allah belum beri rezeki anak tetapi dia beri rezeki untuk saya manfaatkan masa bersama isteri dan kalau sudah ada anak nanti mungkin kami tak boleh 'berkepit' macam sekarang. "Alhamdulillah saya dikurniakan seorang isteri yang cukup baik dan dia sentiasa ada di sisi malah sering ikut ke mana sahaja saya pergi. "Tak terasa pun sudah dua tahun berkahwin tetapi rasa macam masih berbulan madu," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Amir berkata, walaupun namanya kini dilihat suram daripada sebarang publisiti namun dia bersyukur kerana tawaran mengadakan persembahan masih rancak. Malah kata Amir, dia kini semakin kerap berlakon dan bakal terlibat dalam sebuah drama bersiri 24 episod terbitan Global Station Sdn Bhd. "Tahun lepas saya pernah berlakon bawah pengarah Shuhaimi Lua membawa watak sebagai gelandangan dan sejak itu rasa seronok pula berlakon. "Alhamdulillah baru-baru ini dapat lagi tawaran berlakon selain persembahan pentas yang sentiasa tidak putus-putus. "Walaupun tidak banyak tetapi syukur masih ada ruang untuk saya dalam industri seni," jelasnya.