Bagaimanapun, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 33, berkata, dia setuju untuk mengorbankan rambut panjangnya dipotong pendek bagi memastikan watak tersebut berjaya.
"Babak ini menunjukkan Tisha yang juga isteri kepada Badang telah dianiaya oleh abangnya Tai dilakonkan oleh Fauzi Nawawi.
"Tisha telah didera dengan kejam oleh abangnya dengan memukul, merentap dan menggunting sebahagian besar rambutnya.
"Kekejaman itu terserlah apabila perlakuan itu ditonjolkan," katanya.
Salah satu babak dalam filem Badang.
Jelas pelakon yang mula dikenali menerusi filem Black Maria dan Berlari Ke Langit itu lagi, kalau diikutkan Tisha didera sehingga rambutnya dibotakkan.
"Bagaimanapun selepas memikirkan isu sensitif yang pernah berlaku apabila ada pelakon wanita membotakkan kepala untuk menjayakan watak dalam filem membuatkan saya mahupun pihak produksi filem Badang memikirkan rambut panjang saya dipotong pendek sudah memadai," katanya.
Fasha juga menafikan berasa menyesal mahupun terkilan apabila harus memotong rambut pendek seperti lelaki gara-gara mahu menjayakan watak.
"Sebagai pelakon saya perlu komited dengan apa yang harus dilalui watak dijayakan.
"Saya tidak kisah apabila terpaksa melakukan pengorbanan ini asalkan watak dijayakan nampak benar-benar hidup dan penonton yakin dengan lakonan diberikan apabila mereka menonton Badang di pawagam nanti," katanya.