PETALING JAYA: Personaliti televisyen, Hilmy Ashley tidak menyangka percubaan pertama menyertai uji bakat Stand Up Komedi Indonesia Kompas TV musim ketujuh berhasil apabila dia terpilih sebagai salah seorang peserta program itu. Lebih bertambah manis kata jejaka berusia 32 tahun ini, dia turut menerima tiket emas yang jarang-jarang diberikan oleh juri kepada peserta yang berjaya mara ke peringkat seterusnya. "Alhamdulillah daripada 800 peserta dari pelbagai daerah di Indonesia yang hadir saya terplih sebagai salah seorang peserta dan terkejut apabila diberikan tiket emas yang jarang-jarang diberikan juri. "Dengan ada tiket emas itu saya terus mara ke peringkat seterusnya dan perlu membuat persembahan komedi secara langsung yang akan disiarkan di televisyen. "Persaingan memang sengit kerana ramai yang hebat-hebat tetapi saya memang bersyukur dan tak menyangka juri-juri suka dengan persembahan komedi saya," katanya kepada mStar Online. Hilmy memberitahu dia menjalani uji bakat berkenaan di Jakarta pada 11 Februari lalu dan akan kembali ke negara tersebut untuk peringkat seterusnya pada April depan. Dalam pada itu, Hilmy berkata, pemilihannya itu bukan sahaja pencapaian peribadi buatnya malah menganggap ia adalah misi untuk mengharumkan nama negara dalam bidang stand up comedy di Indonesia. Hilmy ketika mengadakan persembahan pada sesi uji bakat di Jakarta, Indonesia. Jelasnya lagi, kemenangan pelawak terkenal Harith Iskander sebagai Funniest Person in the World di Finland 10 Disember tahun lalu turut meniup semangatnya untuk berentap pada pertandingan itu nanti. "Sebelum saya bergelar pembaca berita saya memang terlibat dalam bidang komedi berdiri tetapi ketika itu susah hendak bertahan. "Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya kembali aktif dan kemenangan Harith saya ambil sebagai semangat untuk menembus pasaran komedi di Indonesia kerana masih belum ada sesiapa dari Malaysia berbuat demikian. "Penyertaan saya ini juga adalah misi untuk mengharumkan nama Malaysia di Indonesia," jelasnya. Bercakap lanjut mengenai uji bakat itu, Hilmy berkata, dia mempersembahkan komedi ringkas dengan mengangkat perbezaan masyarakat Malaysia dan Indonesia dan ia telah mencuri hati juri. Katanya lagi, baki masa dua bulan sebelum ke Indonesia akan digunakan untuk membuat persiapan dari segi bahan yang ingin dipersembahkan agar ia relevan dan dapat dinikmati oleh penonton di negara itu. "Saya ingin mempromosikan Malaysia dikalangan penonton Indonesia tetapi ia perlu kena dengan situasi dan boleh difahami. "Seperti persembahan saya pada sesi uji bakat saya pilih topik yang mudah difahami dan saling berkaitan di antara dua negara dan Alhamdulillah ia diterima baik," ujarnya.