suria

Lima Tahun Bukan Menghilang - Sarimah Ibrahim

Impian Sarimah untuk mengendalikan program bual bicara sendiri akhirnya tercapai.

SHAH ALAM: Pengacara Sarimah Ibrahim memberitahu tempoh lima tahun dikatakan 'hilang' daripada industri penyiaran bukan kerana berhenti daripada bidang tersebut, sebaliknya aktif di pasaran berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Sarimah, 38, berkata, dia kini kembali semula aktif di program-program berbahasa Melayu atas sokongan peminat-peminatnya.

"Ramai peminat bertanya kemana saya pergi, saya bukan menghilang atau berhenti daripada bidang penyiaran, cuma saya beralih ke pasaran berbahasa Inggeris di radio.

"Saya ada juga buat program televisyen tetapi program bahasa Inggeris NTV 7. Kini baru saya berpeluang untuk kembali ke program bahasa Melayu," ujarnya kepada mStar Online.

Sarimah ditemui pada sesi rakaman program terbaharu The Sarimah Show yang akan memulakan tayangan pada 5 Mac nanti.

Katanya, program bahasa Melayu tersebut merupakan idea pihak produksi selepas kemunculannya di beberapa acara anugerah mendapat sambutan.

"Saya tidak sangka impian untuk mengadakan program bual bicara sendiri tercapai.

Pada mulanya saya diundang untuk mengacarakan Anugerah Skrin dan Anugerah Juara Lagu 31 mendapat sambutan hingga mereka memberi peluang kepada saya untuk program baharu ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Sarimah berkata, program bual bicara itu bukanlah berunsur komedi seperti kebanyakkan program lain.

"Ia bukan komedi seperti banyak program sekarang yang hanya mencari pelawak sahaja. Ini program yang memberi inspirasi dan menghiburkan penonton," ujarnya.

Dalam pada itu, program tersebut bakal mengundang beberapa artis dan personaliti terkenal sebagai tetamu seperti Neelofa, Fattah Amin, Alif Satar, Fasha Sandha dan Amy Mastura.

Program The Sarimah Show bakal bersiaran setiap Ahad, pukul 11 malam di TV3.

Artikel Lain