suria

Ella Gagal Pujuk Suami Berduet Dalam Album Baharu

Ella bakal muncul dengan album terbaharu tidak lama lagi.

PETALING JAYA: Ratu rock negara Ella memberitahu dia memasang impian untuk berduet dengan suaminya, Azhar Ghazali menerusi album terbaharunya berjudul Peace, Love, Rindu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun kata Ella usahanya itu gagal kerana suaminya itu enggan berbuat demikian kerana tidak yakin dengan kebolehan nyanyiannya.

"Selain boleh bermain alat muzik, suami saya sebenarnya boleh menyanyi dengan baik dan sebab itu saya mahu berduet dengannya dalam sebuah lagu untuk album baru.

"Bagaimanapun puas saya pujuk tetapi dia enggan kerana tidak yakin dapat melakukan dengan baik.

SILA KLIK: Masih Mencari Imej, Ella Minta Peminat Reka Tudung Untuknya

"Tetapi kita tengok bagaimana nanti, saya akan terus pujuk," katanya kepada mStar Online.

Ella bersama suaminya, Azhar Ghazali.

Tambah Ella atau Norzila Aminudin, 51, walaupun suaminya enggan berduet dengannya namun lelaki itu terlibat dari segi sudut teknikal memandangkan dia mempunyai kemahiran dalam bermain alat muzik.

"Album ini adalah projek istimewa dan saya mahu suami terlibat sama dan Alhamdulillah dari segi teknikal dia setuju untuk bekerjasama," katanya.

Bercakap lanjut mengenai Peace, Love, Rindu, Ella berkata, album itu nanti bakal memperlihatkan kematangannya sejajar dengan 30 tahun penglibatannya dalam bidang muzik.

Malah kata Ella, dia bertuah apabila dapat bekerjasama dengan ramai komposer berbakat besar untuk memastikan kesemua lapan buah lagu dimuatkan memenuhi citarasa pendengar.

"Album ini Insya-Allah akan dilancarkan pada April depan dan saya sangat teruja kerana album ini sangat istimewa kerana menampilkan kelainan namun masih mempunyai identiti 'Ella' itu sendiri.

"Akan ada beberapa lagu balada rock dan rancak dan kini ia hampir siap sepenuhnya," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ella berkata, dia merancang untuk mengadakan sebuah konsert akustik berskala besar sebagai menyambut ulangtahun ke-30 penglibatannya dalam industri muzik.

Ella, Azhar Ghazali

Artikel Sebelum

Ary Malik Masih Tidak Sedar

Artikel Berikut

Artikel Lain