KUALA LUMPUR: Ketika amalan mendapatkan rawatan botoks menjadi pilihan sebilangan wanita untuk kelihatan muda, penyanyi dan pelakon Amy Mastura menolak kaedah itu atas faktor kesan sampingan jangka panjang. Malah wanita berusia 46 tahun itu mengakui dia tidak malu jika kedutan pada wajahnya dapat dilihat dengan ketara sekiranya dia tidak menggunakan alat solek untuk mencantikkan wajahnya. "Tak pernah pula terlintas di hati saya nak ambil botoks. Saya takut bila bangun pagi, saya tak kenal diri sendiri. Amy Mastura mengakui pernah mendapatkan suntikan vitamin C namun berhenti ditengah jalan. "Jadi buat masa ini saya tak perlu botoks," katanya kepada mStar Online. Ibu kepada dua anak ini ditemui pada majlis pelancaran program bual bicara Jihan Show di ibu negara baru-baru ini. Menerusi program itu Amy dan pelakon Zara Zya serta pelawak Syuk Jonas bertindak sebagai hos bersama Jihan Muse. Sementara itu ketika ditanya sama ada dia pernah mendapatkan rawatan kecantikan, Amy mengakui pernah mengambil suntikan vitamin C suatu ketika dahulu. Bagaimanapun jelas Amy, suntikan berkenaan dihentikannya selepas tiga kali menjalani rawatan. "Kalau boleh saya nak kulit cantik. Sebab itu dulu pernah ambil vitamin C secara suntikan. Tapi semuanya hanya setengah jalan. "Kesannya memang cepat, tapi cepat juga habis. Bagi saya ambil pil vitamin C juga boleh membantu," katanya.