suria

Ryzal Jaafar Akur Zaman Kegemilangan Semakin Malap

Ryzal terpaksa bersaing dengan ramai pelakon baharu yang lebih menyerlah. -foto AIMAN ARIFUDDIN / The Star

KUALA LUMPUR: Mengakui semakin kurang mendapat tawaran berlakon, Ryzal Jaafar akur zaman kegemilangannya dalam industri hiburan kini semakin malap.

Jelas Ryzal, 35, kehadiran ramai pendatang baharu dalam bidang lakonan menjadikan persaingan untuk mendapat tawaran semakin sengit.

"Tawaran berlakon kini agak terhad. Ada ramai pelakon baharu yang warnai industri seni.

Ryzal mengakui penglibatan stesen TV dalam pemilihan pelakon menjejaskan peluangnya.
"Dulu saya banyak dapat watak utama sebagai hero tapi sekarang tidak lagi kerana ia mengikut peredaran masa. Sesiapa pun tidak selamanya akan berada di atas... ia macam putaran," katanya kepada mStar Online.

Tambah Ryzal atau Mohd Shahrizal Jaafar, senario semasa apabila pihak stesen televisyen terlibat dalam memilih pelakon untuk membintangi sesebuah drama yang bakal ditayangkan juga menjejaskan peluangnya.

"Pelakon ditentukan oleh stesen TV, bukan hanya penerbit atau syarikat produksi. Jadi kalau orang TV yang tentukan, sedikit sebanyak pelakon akan terjejas.

"Kecuali sesuatu drama itu ada menampilkan hero baru dan lama. Situasi begitu boleh seimbangkan," katanya yang bakal muncul menerusi program Perang Bibir di TV9 bermula 2 Mac.

Ditanya sama ada dia merasakan semakin tercabar dengan kehadiran ramai muka baharu yang lebih menonjol, Ryzal menyifatkan ia sebagai rezeki.

"Itu rezeki masing-masing, apa yang penting mutu lakonan yang kita berikan.

"Setiap pelakon tak selamanya ada di atas, bila dah berumur dia akan bawa watak bapa pula," katanya.

Bercerita mengenai pemilihan watak, Ryzal bagaimanapun menyatakan dia tetap mahu mengkaji setiap tawaran yang diberikan.

"Saya agak memilih dari segi watak yang ditawarkan. Saya mahu mencari karakter yang sesuai dan menonjol," katanya.
Ryzal Jaafar

Artikel Lain