suria

Saharul Ridzwan Enggan Tahu Jantina Anak

Saharul bakal menimang cahaya mata sulung pada Jun depan. Foto NORAFIFI EHSAN
PETALING JAYA: Pelakon Saharul Ridzwan enggan mengetahui jantina anak dalam kandungan isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir yang kini sudah memasuki lima bulan.

Saharul berkata, walaupun imbasan dilakukan sudah menampakkan jantina bayi sulung mereka namun dia dan isteri memilih untuk tidak mengetahuinya sebagai kejutan.

"Sejujurnya saya dan isteri memang tidak kisah mengenai soal jantina anak kerana paling penting bayi yang bakal dilahirkan nanti sihat dan sempurna.

"Memang kami sengaja tidak mahu tahu kerana inginkan kejutan ketika dia lahirkan nanti walaupun doktor sudah dapat melihat jantinanya ketika imbasan dibuat," katanya kepada mStar Online.

Saharul dan Qaabila dijangka bakal menimang cahaya mata sulung mereka pada Jun depan.

Dalam pada itu, Saharul memberitahu keadaan isterinya berada dalam keadaan baik dan mengakui tidak sabar untuk menantikan kehadiran orang baharu dalam rumah tangga mereka.

Saharul dan isteri bergambar kenangan di Jabal Rahmah ketika mengerjakan Umrah baru-baru ini. - Foto Instagram @saharulridzwan

"Alhamdulillah semuanya berada dalam keadaan baik dan seperti pasangan lain yang bakal menimang cahaya mata kami pun tidak sabar menantikan kelahiran bayi sulung kami," katanya.

Berkongsi pengalaman mengerjakan Umrah bersama isteri pada 31 Januari lalu, Saharul berkata, walaupun pergerakan Qaabila terbatas kerana hamil namun dia dapat melakukan semua ibadah dengan sempurna.

Malah katanya, pemergian bersama isteri ke tanah suci memberi pengalaman baharu dan berharap dapat berkunjung lagi ke Mekah pada masa hadapan.

"Dahulu ketika saya pergi dengan keluarga dan kali ini bersama isteri dan bayi kami, jadi ia adalah pengalaman yang cukup istimewa.

"Alhamdulillah semua urusan ibadah berjalan lancar walaupun pergerakan isteri terbatas sedikit.

"Insya-Allah jika ada peluang kami ingin mengerjakan Umrah lagi pada masa hadapan," jelasnya.

Saharul bakal muncul dengan drama mini Chor & Chah.

Dalam perkembangan lain, Saharul berkata, dia bakal muncul dengan drama mini Chor & Chah yang disifatkan sebagai penuh informasi dan hiburan.

Kata Saharul dia tertarik untuk bekerjasama dalam projek itu kerana suatu ketika dahulu dia pernah memulakan perniagaan tanpa ilmu dan maklumat yang tepat sehingga bisnes itu lingkup.

"Chor & Chah mengetengahkan kit panduan dalam membimbing usahawan baharu yang ingin memulakan perniagaan dan ia idea yang sangat menarik.

"Bila ada drama sebegini ia amat berguna kepada sesiapa yang ingin memulakan perniagaan kerana pelbagai maklumat akan diselitkan dalam berhibur mengenai kisah dipaparkan.

"Saya juga dahulu ada pengalaman perniagaan tidak menjadi kerana tiada maklumat dan pengalaman sehingga bisnes bedak sejuk yang dijalankan tidak menjadi," katanya.

Chor & Chah adalah drama usahasama di antara SME Corp Malaysia dan Suhan Movies dan menampilkan barisan pelakon seperti Ummi Nazeera, Luqman Hafidz dan Hafreez Adam.

Ia bakal ditayangkan menerusi platform online iaitu YouTube.

Saharul Ridzwan, Chor & Chah

Artikel Lain