PETALING JAYA: Pelakon Dottie meletakkan tempoh masa setahun untuk benar-benar bersedia mendapatkan cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu. Bagaimanapun, Dottie, 29, berkata, dia tidak menolak andainya dikurniakan zuriat lebih awal daripada perancangannya. "Perkahwinan saya baru tiga bulan dan saya belum risau lagi tentang anak, kalau boleh biarlah selepas usia setahun perkahwinan kami. Dottie berkahwin pada Disember tahun lalu. "Buat masa ini saya mahu enjoy untuk hidup berdua dahulu, namun jika ada rezeki anak dalam masa terdekat saya bersyukur dan terima sahaja," ujarnya kepadamStar Online. Dottie atau Nor Syuhaida Abd Razak bergelar isteri kepada Mohd Haffis Abu Hassan, 27, pada 25 Disember 2016 dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Selain itu ditanya tentang kehidupan selepas bergelar isteri, pelakon drama 3 Gadis Manis ini berkata, tanggungjawabnya lebih besar dalam menguruskan suami. Katanya, dia perlu memberi keutamaan kepada suami biarpun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon. "Keperluan kepada suami dan keluarga perlu diutamakan, kalau dulu balik shooting kita boleh tidur sahaja sekarang penat macam mana kena uruskan makan dan minum suami. "Pekara yang banyak berubah ialah tanggungjawab kerana kita hidup berdua bukan lagi seorang macam dulu," ujarnya. Namun, Dottie berkata, dia bersyukur suami memahami dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya sebagai anak seni. "Dia faham kalau saya balik lambat sebab penggambaran, yang penting kena minta izin dahulu," ujarnya.