PETALING JAYA: Ketika kemampuan vokal Fattah Amin menerusi lagu Wanita Terakhir mendapat pelbagai kritikan negatif, pelakon itu bercadang merakamkan beberapa lagu lain sepanjang tahun ini. Perkara itu didedahkan penyanyi Aizat Amdan selaku komposer laguWanita Terakhir nyanyian Fattah. “Sepanjang tahun ini saya sudah kosongkan jadual untuk laksanakan projek bersama Fattah Amin. “Memang ada lagu lain yang akan keluar. Kami sedang usahakannya untuk tahun ini,” katanya kepada mStar Online. Aizat ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya sendiri berjudul Jangan Menangis di Ziffy Cafe, Kota Damansara pada Isnin. Aizat yakin kesungguhan yang ditunjukkan Fattah Amin mampu menjadikan pelakon itu berjaya dalam bidang muzik. Sebelum ini Fattah yang mencetuskan fenomena menerusi lakonannya dalam drama Suri Hati Mr Pilot bersama pelakon Neelofa melancarkan single Wanita Terakhir pada awal Januari lalu. Lagu hasil ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan itu penah menduduki kedudukan teratas carta iTunes Malaysia. Bagaimanapun Aizat enggan mendedahkan maklumat terpeinci berhubung kerjasama antara syarikatnya Kasi Gegar Entertainment dan syarikat yang menaungi Fattah iaitu Fastyle. “Kami selesa untuk terus jalin kerjasama tapi sama ada Fattah akan keluarkan album penuh atau tidak itu belum pasti,” katanya. Ditanya mengapa dia mahu terus mengambil risiko mencipta dan menerbitkan lagu untuk Fattah yang tidak mempunyai asas dalam bidang nyanyian, Aizat berkata kesungguhan ditunjukkan aktor itu menarik minatnya selaku komposer. “Waktu sesi latihan sebelum rakaman lagu Wanita Terakhir, dia betul-betul menunjukkan minat yang tinggi dan sanggup berlatih berulang kali. “Perkara itu buatkan saya mahu terus bekerjasama dengannya. Jadi tahun ini saya akan bantu dia, beri tunjuk ajar dalam bidang nyanyian termasuk persembahan pentas. “Saya cipta lagu ikut kemampuan vokalnya, jadi dia tak perlu jerit-jerit… ikut keselesaannya,” katanya.